Kota Kinabalu : Kerjasama erat antara pengamal media dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) amat diperlukan bagi membantu mempromosikan peranan agensi itu dalam menjaga keselamatan Zon Maritim Malaysia.
Pengarah Unit Komunikasi Korporat (UKK) Maritim Malaysia, Faridah Shuib berkata, usaha berterusan bagi mempromosikan Maritim Malaysia perlu terus dilaksanakan.
Katanya, media juga merupakan wadah penting dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat.
“Melalui laporan yang disiarkan oleh media, masyarakat mempunyai kesedaran akan kepentingan keselamatan di laut sekaligus bekerjasama dengan Maritim Malaysia untuk menyalurkan maklumat tentang aktiviti jenayah atau insiden kecemasan di perairan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sesi ramah mesra bersama pengamal media Sabah di sini semalam.
Hadir sama dalam pertemuan itu, Penolong Pengarah Kanan Perhubungan Awam, UKK Maritim Malaysia, Mohd Amir Khusairi Harun dan Pegawai Perhubungan Awam Maritim Negeri Sabah, Leftenan Madya Maritim Nuraisyah Najwa Mehip Abdullah.
Hasil pertemuan yang diadakan, media tempatan Sabah menyatakan komitmen penuh bagi mempromosikan kepada rakyat Sabah tentang peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada Maritim Malaysia.
Antara wakil pengamal media yang hadir adalah Sabah Media; RTM; BERNAMA; Jabatan Penerangan Malaysia (Sabah); Borneo Post; Harian Metro; Utusan Borneo; Shin Chiew Daily; TVS dan TV3. – SABAH MEDIA/ FOTO MARITIM MALAYSIA.