HomeUtamaJHEAINS Beri Kebenaran Sementara Kepada Surau Terpilih Bagi Laksana Solat Jumaat

JHEAINS Beri Kebenaran Sementara Kepada Surau Terpilih Bagi Laksana Solat Jumaat

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan memberi kebenaran sementara kepada beberapa buah surau di negeri ini bagi melaksanakan solat Jumaat.

Menteri Tugas-tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kebenaran itu diberikan selepas jawatankuasa surau di beberapa kawasan mengemukakan permohonan kepada JHEAINS selepas mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Ini adalah salah satu altenatif yang diambil bagi membolehkan umat Islam menunaikan solat Jumaat dimana jumlah Jemaah khususnya di Masjid yang terhad bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Kita juga menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membenarkan solat berjemaah di masjid bagi mereka yang sudah selesai dan lengkap dua dos vaksin,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1443H/2021M di Masjid Negeri, semalam.

Mohd Arifin berkata, pihaknya melalui Pejabat Mufti Negeri Sabah, JHEAINS dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) akan mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Sabah bagi memohon kelonggaran dari segi jumlah jemaah masjid dan surau.

“Namun begitu, ia masih tertakluk kepada situasi semasa COVID-19 di negeri ini,” katanya.

Hadir sama, Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya, Setiausaha Persekutuan, Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan Pembantu-Pembantu Menteri.

Mohd Arifin berkata, majlis bacaan doa akhir tahun dan awal tahun hijrah yang diadakan di seluruh Sabah diharapkan dapat mengukuhkan kekuatan dari sudut kesabaran, ketabahan dan muafakat bersama dalam melandaikan lekuk COVID-19 di negeri ini.

Majlis bermula dengan bacaan doa akhir tahun 1442H dan awal tahun 1443H yang dipimpin oleh Timbalan Mufti Negeri, Sahibul Fadhilah Dr Mohammad Ali Abdullah.

Ia disusuli dengan solat fardhu Maghrib yang diimamkan Imam Besar Masjid Negeri, Suhaidi Kuanting yang turut memimpin bacaan Surah Yasin serta tahlil ringkas selepas solat./PENERANGAN.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular