HomeUtamaSemangat Maal Hijrah sebagai kekuatan mendepani cabaran COVID-19

Semangat Maal Hijrah sebagai kekuatan mendepani cabaran COVID-19

Read Time:2 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mahu semangat dan pengajaran daripada Maal Hijrah ini memberi kekuatan dan semangat kepada rakyat dalam mendepani cabaran COVID-19 di negeri ini.

Beliau turut berharap umat Islam di negeri ini dapat mengambil ikhtibar dan semangat hijrah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassallam dengan sebaik-baiknya dalam kehidupan yang mencabar ini, mengharungi norma baharu yang berbeza dengan hari sebelumnya dan usaha memulihkan ekonomi negeri.

“Seperti tahun lalu, sambutan Maal Hijrah tahun ini juga disambut ketika pandemik. Pada tahun ini, kita meraikan sambutan Maal Hijrah dalam tempoh Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri ini sejak 10 Julai lalu.

“Apa yang penting, rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan agar kita mampu berhijrah daripada Fasa Dua ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara dalam masa terdekat ini,” katanya pada majlis pelancaran sambutan Maal Hijrah 1443H peringkat negeri Sabah secara maya yang berlangsung di Dewan Saadah, Wisma MUIS, di sini hari ini.

Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin melancarkan sambutan Maal Hijrah 1443H peringkat negeri Sabah secara maya di sini hari ini.

Majlis yang berlangsung di Dewan Saadah itu turut dihadiri Menteri Tugas-Tugas Khas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Maal Hijrah 1443H/2021M, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif.

Tema sambutan Maal Hijrah kali ini iaitu ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ yang intipatinya mengajak semua supaya mentaati Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Sesungguhnya, ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya bakal mengundang limpahan rahmat daripada Tuhan Rabbal Alamin.

Sambil mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah kepada semua umat Islam di negeri ini, Hajiji berkata dengan mencontohi makna yang tersirat di sebalik peristiwa hijrah ini, kerajaan Negeri Sabah turut merangka dasar dan hala tuju yang terancang menerusi Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Ini antara usaha untuk mengembalikan semula ekonomi negeri yang turut terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 sejak tahun lalu. Saya yakin dengan sokongan dan penyertaan semua lapisan rakyat, pelan pembangunan ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan amat menghargai keprihatinan banyak pihak termasuk badan korporat, usahawan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang tampil menyalurkan bantuan keperluan kepada yang terjejas.

“Keadaan ini mencerminkan masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama sanggup mengenepikan segala perbezaan yang ada demi menjayakan prinsip mulia hidup bermasyarakat,” katanya.

Hajiji berkata, sudut positif pandemik COVID-19 turut membawa kepada penerokaan perniagaan dalam talian sekali gus menjadikan rakyat lebih dekat dengan `digital economy ’iaitu satu bentuk transformasi di bawah kerangka Revolusi Industri 4.0.

“Mahu atau tidak, kita perlu bersedia berhijrah menempuh Revolusi Industri 4.0 yang mana pasaran kerjanya dipenuhi dengan individu yang berkemahiran tinggi dan kreatif.

Kita perlu mempersiapkan diri, generasi muda dan rakyat keseluruhannya agar tidak terpinggir dalam era globalisasi dan digital itu,” katanya.

Beliau turut menzahirkan tahniah dan terima kasih kepada tokoh Maal Hijrah yang dipilih tahun ini atas sumbangan dan bakti mereka dalam menegakkan syiar Islam.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular