KOTA KINABALU: Sebanyak 17.6 peratus penduduk di negeri ini telah selesai melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sebanyak 40.8 peratus penduduk di Sabah telah menerima vaksin dos pertama.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan agensi kerajaan yang lain kini giat berusaha bagi mempercepatkan lagi proses vaksinasi di seluruh Sabah.
“Sehingga 9 Ogos lalu, sejumlah 1,126,645 dos pertama telah berjaya diberikan kepada penerima di negeri ini. Manakala bagi suntikan dos kedua yang mana penerima perlu melengkapkan suntikan vaksin adalah sebanyak 485,880 dos vaksin sahaja,” katanya.
Masidi berkata, kerajaan Sabah akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kapasiti pemberian suntikan kepada rakyat di negeri ini.
Katanya, pihak JKNS juga kini turut memastikan bekalan vaksin berada pada jumlah yang mencukupi.
“Dalam situasi di mana virus COVID-19 sudah berada dalam kalangan masyarakat, kita sedang mempercepatkan proeses pemberian vaksin kepada individu yang layak untuk divaksin.
“Ini bermaksud bahawa kes baharu akan terus meningkat sehingga lebih ramai individu mendapat vaksin. Kes hanya akan mulai menurun ketika kita berjaya memvaksinasi penduduk pada tahap peratusan yang besar,” katanya.
Katanya, strategi kerajaan kini adalah memberi vaksinasi kepada setiap orang dewasa secepat mungkin agar virus tersebut habis dari korban atau jumlah korban yang lebih sedikit untuk dijangkiti.
Katanya, rakyat juga diminta untuk memainkan peranan penting dalam menghentikan penyebaran virus dengan mempraktikkan disiplin tinggi dan penjagaan kesihatan diri dengan mematuhi semua SOP yang digariskan.