HomeUtamaKerajaan negeri menyumbang RM300,000 untuk Tabung Palestin

Kerajaan negeri menyumbang RM300,000 untuk Tabung Palestin

Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menyumbang RM300,000 untuk Tabung Kemanusiaan Aman Palestin bagi membantu rakyat negara itu yang sedang menderita akibat peperangan dan kekejaman rejim Zionis.

Sumbangan itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada program Himpunan Kemanusiaan Untukmu Palestin anjuran bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Sabah di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS pada Sabtu.

Selain sumbangan kerajaan negeri, pelbagai agensi, badan dan organisasi di negeri ini turut menyumbang untuk tabung berkenaan yang setakat ini berjaya mengumpul sebanyak RM355,000.

Sementara itu, Hajiji menyifatkan perhimpunan yang dihadiri kira-kira 10,000 orang itu sebagai sesuatu yang bersejarah untuk menunjukkan bahawa rakyat Sabah mengutuk kekejaman rejim Zionis, selain menandakan semangat perpaduan dan solidariti rakyat Sabah yang sukakan keamanan.

“Kita menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan negara mereka daripada penindasan rejim Zionis di bumi mereka sendiri”.

“Kekejaman rejim Zionis tidak boleh diterima, rakyat seluruh dunia perlu mengutuk tindakan Israel dan sekutunya yang selama ini menindas Palestin”.

“Kita mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan untuk menghentikan kekejamn Zionis Israel. Mereka melakukan kekejaman berpuluh tahun,” katanya.

Beliau berkata, tindakan Hamas melakukan serangan balas terhadap Israel mempunyai sebab yang jelas kerana berdekad lama rakyat Palestin ditindas, diseksa dan wilayah mereka diceroboh Israel.

“Tapi dunia barat dengan pengaruh media mereka melihat seolah-olah rakyat Palestin dan Hamas sebagai satu kumpulan penganas sedangkan mereka adalah pejuang Palestin yang mahu membebaskan negara mereka”.

“Oleh itu kita minta PBB mesti melakukan sesuatu untuk menghentikan kekejaman Israel. Kita tidak sanggup melihat setiap detik bumi Gaza dibom hingga ramai rakyat termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua terbunuh”.

“Ini tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi ia berlaku pada zaman moden. Kita tidak boleh tahan dengan tindakan tidak berhati perut dan tidak berperi kemanusiaan. Masyarakat dunia perlu melakukan sesuatu untuk hentikan Israel,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata rakyat Sabah tanpa mengira kaum memberi sokongan padu kepada rakyat Palestin dan menyatakan simpati terhadap penderitaan yang mereka alami.

“Atas sebab itu kita mesti mengambil tanggungjawab bagaimana membantu mereka.

Kalau tidak boleh berperang tapi kita mesti lakukan sesuatu beri bantuam dan semangat kepada Palestin,” tegasnya.

Hajiji berkata, kejadian dahsyat yang berlaku di bumi Gaza perlu menjadi iktibar kepada seluruh rakyat Malaysia di Sabah.

Katanya, rakyat negeri ini mesti merapatkan barisan dan memperkukuhkan perpaduan supaya keamanan dan kemakmuran yang sedang dikecapi selama ini dapat dipertahankan dan diperkukuhkan lagi.

“Kita berasa bertuah kerana semua rakyat Malaysia, walau pun terdiri dari berbilang suku, bangsa dan keturunan masih dapat hidup dalam suasana yang aman, damai dan harmoni. Kita berdoa agar keadaan ini dapat dihargai dan dipertahankan selama-lamanya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan curi kabel punca gangguan bekalan di Kinarut

Mahkamah Kota Kinabalu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular