HomeSukanBorneo Safari 2023 tarik minat peserta luar negara

Borneo Safari 2023 tarik minat peserta luar negara

Read Time:2 Minute, 0 Second

Kota Kinabalu : Penganjuran Borneo Safari International Off-Road Challenge 2023 yang diadakan selama lapan hari bermula hari ini berjaya menarik minat 1,500 peserta melibatkan peserta dari dalam dan luar negara.

Pelepasan peserta melibatkan 530 buah kenderaan itu telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di perkarangan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) di sini pagi tadi.

Hajiji bersalaman dengan peserta dari Hong Kong

Para peserta akan melalui beberapa daerah antaranya Tambunan, Keningau, Ranau dan Telupid selain akan dipecahkan kepada tiga laluan jalan raya (tiga kumpulan).

Hajiji ketika ditemui selepas majlis pelepasan berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah yang telah berjaya mengumpulkan peminat sukan kereta pacuan empat roda dari pelbagai tempat.

“Saya cukup teruja dengan program ini, tahniah kepada penganjur kerana berjaya mengumpulkan peminat kereta pacuan empat roda yang akan menjelajah hutan rimba kita selama beberapa hari.

“Sambutan begitu baik sekali, jadi ini menunjukkan bahawa ianya bukan satu rekreasi tetapi dapat melihat khazanah Sabah bumi di bawah bayu dan hutan simpannya serta eko sistemnya yang cukup menarik,” katanya.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai; Pembantu Menteri Belia dan Sukan Datuk Fairuz Renddan dan Pengerusi Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah Faez Nordin.

Hajiji berkata, pihaknya juga amat mengalu-alukan kehadiran peserta termasuk dari luar negara dan berharap agar pelaksanaan program ini berjalan lancar.

Dalam pada itu,  Faez berkata, penganjuran program bagi edisi ke-31 itu akan dibahagikan kepada tiga laluan bagi mengelakkan berlaku kesesakan jalan raya berikutan pertambahan jumlah peserta yang menyertai.

“Ekspedisi kita kali ini akan kita pecahkan kepada tiga kumpulan iaitu tiga jalan.  Kalau seperti dulu hanya satu jalan tetapi kali ini kita pecahkan kepada tiga bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

“Kali ini ada satu laluan terlibat didalam Jabatan Perhutanan iaitu sebanyak 80 buah kenderaan dan 180 orang sahaja yang akan melalui laluan berkenaan dan selebihnya adalah di kampung-kampung selain jalan luar bandar,” katanya.

Katanya, antara peserta dari negara luar yang menyertai adalah dari Hong Kong; Australia; New Zealand; Jepun; China; India; United Kingdom termasuk dari Semenanjung dan Sarawak.

“Dari jumlah peserta pada tahun ini, kita terpasa hadkan penyertaan kerana kita risau tidak dapat kawal konvoi dan kali ini kami sangat berbesar hati apabila Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sudi hadir sendiri membuat pelepasan peserta konvoi selepas 31 tahun kita menganjur Borneo Safari,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

280 peserta sertai ‘Tropical Rainforest Run 2024’ Ahad ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular