HomeUtamaTabung Pendidikan UiTM Sabah terima sumbangan RM60,000

Tabung Pendidikan UiTM Sabah terima sumbangan RM60,000

Read Time:2 Minute, 1 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menyumbangkan sebanyak RM 60,000 kepada Tabung Pendidikan dan Pembangunan Akademik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata sumbangan itu adalah  bagi membantu persatuan menyelaras kewangan pendidikan anak-anak bumiputera khususnya mereka yang berada dalam kategori B40 bagi memastikan kelangsungan pendidikan para pelajar. 

“Kita maklum bahawa sebahagian besar pelajar UiTM datang daripada golongan yang kurang berkemampuan, maka dari itu saya menyeru semua alumni UiTM khususnya cawangan Sabah bersama-sama menyalurkan sumbangan kepada Tabung Pendidikan dan Pembangunan Akademik UiTM Cawangan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Amal Persatuan Alumni UiTM Sabah Sempena 50 Tahun Sambutan Jubli emas UITM Cawangan Sabah di sini semalam.

Teks ucapannya dibacakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya.

Hajiji turut menghargai persatuan-persatuan yang mengumpul dana termasuklah Persatuan Alumni UiTM yang membantu para pelajar kurang bernasib baik agar meneruskan usaha murni membela anak-anak bumiputera yang memerlukan sokongan.

Katanya, pencapaian dan kejayaan alumni UiTM Cawangan Sabah di alam pekerjaan telah membentuk reputasi, identiti dan imej keunggulan UiTM di mana ramai Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN), pengarah syarikat, ketua jabatan serta pelbagai jawatan utama di Sabah dipelopori oleh alumni UiTM.

“Syabas dan tahniah di ucapkan kepada UiTM secara keseluruhannya kerana buat pertama kali dalam sejarah berada 100 Universiti Terbaik Asia apabila mencapai kedudukan ke-98 dalam ‘Best Asia University Ranking’ 2024 yang dikeluarkan baru-baru ini.

“Pencapaian tersebut membuktikan hasil kerjasama antara pihak universiti dan alumni dalam memastikan kecemerlangan universiti sentiasa menjadi keutamaan disamping menghasilkan graduan-graduan berkualiti tinggi,” katanya.

Pada majlis yang sama, turut disampaikan Anugerah Alumni Perdana yang diberikan kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Anugerah Ikon Alumni UiTM kepada Kadzim, Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Rosmawati Lasuki serta Rektor UiTM Cawangan Sabah, Profesor Madya Datuk Dr. Abdul Kadir Rosline. 

Anugerah tersebut adalah sebagai penghargaan kepada individu-individu yang menjadi contoh kepada kejayaan UiTM Cawangan Sabah sepanjang 50 tahun penubuhannya.

Turut hadir,  Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Pengerusi Syarikat Konsesi Air Kota Kinabalu, Jetama Sdn Bhd, Datuk Yussof Abdul Manan, Yang Di-Pertua Persatuan Alumni UiTM Sabah, Azhar Matussin dan  Timbalan Persatuan Alumni UiTM Sabah merangkap Pengerusi Penganjur, Sazali Md Salleh.

RELATED ARTICLES
Utama

DBKK benarkan Taman Perdana Tanjung Aru beroperasi semula

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular