HomePolitikCubaan rampasan kuasa kerajaan titik hitam sejarah politik Sabah

Cubaan rampasan kuasa kerajaan titik hitam sejarah politik Sabah

Read Time:2 Minute, 11 Second

Kota Kinabalu : Cubaan rampasan kuasa Kerajaan negeri pada awal tahun ini yang dilihat merupakan satu peristiwa hitam diharap tidak akan berulang lagi bagi memastikan kemajuan dan kemakmuran negeri terus terjamin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peristiwa itu sebenarnya sukar untuk dilupakan, dan antara titik hitam dalam sejarah politik Sabah yang sangat mengecewakan.

“Masih segar dalam ingatan kita semua akan suatu cubaan kudeta politik pada awal tahun ini oleh segelintir pemimpin atau kumpulan, yang juga merupakan rakan kita sendiri

“Akibat daripada cubaan itu, segala urusan pentadbiran negeri telah terganggu seketika,” katanya dalam Ucapan Dasar sebagai Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Perhimpunan Agung pertama parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, suasana ketika itu amat genting dan kerajaan negeri nyaris-nyaris lumpuh serta hilang kelayakan untuk meneruskan pentadbiran dan kuasa pemerintahan.

Katanya, rakyat pada ketika itu menjadi cemas kerana bimbang akan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Satu situasi yang tidak sepatutnya terjadi kerana ia boleh mewujudkan tanggapan ketidakstabilan politik.

“Namun, berkat sokongan daripada rakan-rakan yang asalnya parti lawan, iaitu Pakatan Harapan Sabah, kerajaan yang berpaksikan kepada GRS ini telah dapat diselamatkan dan terus memegang tampuk kerajaan.

“Terima kasih kepada rakan-rakan daripada PH termasuk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN/UMNO yang tetap menyokong dan mendokong Kerajaan GRS, lalu menjadikan kerajaan negeri hari ini dikenali sebagai Kerajaan GRS- PH Plus,” katanya.

Sambil berharap rakyat merenung kembali peristiwa itu bagi menentukan kerajaan terus utuh mentadbir negeri.

Katanya, peristiwa itu membolehkan `kita tahu siapa kawan dan lawan, dan lebih penting kita dapat mengenali hati budi sahabat sejati.’

Hajiji menegaskan bahawa tindakan hendak menumbangkan kerajaan demokratik pilihan rakyat dengan sewenang-wenangnya dan sebegitu rupa, adalah suatu tindakan terdesak yang sangat memalukan dan tidak beretika.

Beliau mengulangi pentingnya Gagasan Rakyat diperkukuhkan sebagai satu-satunya landasan perjuangan, dan menyifatkan parti itu sebagai `rumah kita’ yang perlu dijaga bersama.

“Rumah kita, kitalah tuannya. Rumah kita, kitalah penentu menu dan resipinya. Rumah kita, kitalah yang jaga,” katanya.

Hajiji juga mengingatkan ahli parti bekerja keras bagi menghadapi pilihan raya negeri pada bila-bila masa.

“Walaupun kita masih mempunyai tempoh dalam dua tahun lagi, namun siapa tahu kemungkinan pilihanraya akan kita awalkan?,” katanya.

Untuk itu, katanya, kepimpinan parti semua peringkat wajib terus diperkukuh dan tidak boleh leka, sebaliknya terus bekerja untuk parti, rakyat dan negeri.

Katanya, sejak tiga tahun kebelakangan ini, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu untuk membantu segenap lapisan rakyat di samping meneruskan dan menambah baik inisiatif sedia ada.

Beliau mengambil beberapa contoh dalam bidang pendidikan, kebajikan, perumahan dan pembelaan nasib golongan wanita. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tambah baik jejantas Petagas bakal tingkat keselamatan penduduk – Shahelmey

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular