HomeUtamaPindaan Ordinan Buruh Sabah perlu diteliti sebaik mungkin - Mustapha

Pindaan Ordinan Buruh Sabah perlu diteliti sebaik mungkin – Mustapha

Read Time:2 Minute, 9 Second

Kota Kinabalu : Semua pindaan yang akan dibuat terhadap Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) perlu diteliti sebaik mungkin sebelum perkara itu dibentangkan di Parlimen, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mustapha Sakmud.

Katanya, banyak pindaan yang perlu dilakukan dan perlu dibuat secara teliti bagi memastikan tiada perkara yang tertinggal apabila ia dibentangkan nanti.

“Kepada semua kesatuan sekerja khususnya Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sabah dan kesatuan sekerja yang lain, memang saya sudah cuba berusaha untuk memastikan pindaan Ordinan Buruh Sabah ini dapat dibaca skurang-kurangnya bacaan pertama pada sidang Parlimen kali ini tetapi apabila meneliti dokumen yang ada, sebab pindaan ini agak besar dan tidak dipinda sejak 2005, ia tidak dapat dilaksanakan pada kali ini.

“Memang banyak perubahan yang perlu dilakukan dan pihak Peguam Negara menasihatkan supaya biar kita berhati-hati untuk meneliti pindaan ini supaya jangan ada yang terlepas, kalau dibuat secara tergesa-gesa kemungkinan ada yang tertinggal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan 5 sesi 2023 / 2024 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, Penampang, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Mustapha berkata, pihaknya akan memperhalusi sebaik mungkin semua pindaan yang perlu agar tidak terlepas dan hanya perlu menunggu beberapa bulan lagi sebelum sidang Parlimen akan datang pada Mac depan bermula.

“Kalau kita boleh tunggu sejak 2005 hingga 2023 untuk kita buat pindaan begitu besar, apa salahnya kita tunggu beberapa bulan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kekecewaan disuarakan MTUC Sabah berkaitan pindaan Ordinan Buruh Sabah yang tidak dibentangkan pada persidangan Parlimen kali ini.

MTUC Sabah menyatakan bahawa penangguhan itu menyebabkan pekerja di Sabah masih tidak dapat menikmati faedah yang dinikmati pekerja di negeri lain yang termaktub dalam Akta Kerja 1955.

Mustapha berkata, beliau memahami keluhan dan keprihatinan yang disuarakan MTUC serta kesatuan sekerja lain berhubung penundaan RUU itu, namun menjelaskan bahawa ia bukan disengajakan.

“Apa yang kita mahu ialah pindaan itu nanti dapat mendepani cabaran berpuluh tahun akan datang dan mengikut piawaian antarabangsa ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Ini yang kita mahu pastikan, jadi saya memohon maaf kepada MTUC dan kesatuan sekerja yang lain sebab hasrat kita meminda ordinan ini terpaksa ditangguh ke persidangan akan datang,” katanya.

Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) mula berkuatkuasa di negeri ini pada 1 Januari 1950 sebelum diwarta menjadi undang-undang persekutuan sejak 20 Mei 1965. Ia hanya dipinda sekali pada 2005 berbanding Akta Kerja 1955 yang sudah dipinda sebanyak 12 kali.

Antara pindaan yang akan dilaksanakan dalam ordinan berkenaan ialah liputan pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan, penentuan siapa pekerja dan majikan, peruntukan berkaitan liabiliti pembayaran gaji dan gangguan seksual.

RELATED ARTICLES
Utama

Mayat mangsa lemas kanak-kanak perempuan empat tahun, dijumpai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular