HomeIsu tempatanTamu Belia Tuaran tarik minat lebih 20,000 pengunjung

Tamu Belia Tuaran tarik minat lebih 20,000 pengunjung

Read Time:1 Minute, 54 Second

Tuaran:  Program Tamu Belia Tuaran yang berlangsung selama empat hari di Padang Istiadat Tuaran di sini berjaya menarik minat hampir 20,000 orang pengunjung.

Setiausaha Politik Kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Mohammad Ghazali Hajiji berkata, program yang julung kali diadakan itu adalah bertujuan untuk mengenengahkan potensi, bakat, kepimpinan selain mengukuhkan silaturahim serta jaringan kerjasama dengan belia dari beberapa buah negeri yang terlibat.

“Objektif kami mengadakan Program Tamu Belia ini adalah untuk mencungkil bakat dan kepimpinan para belia di daerah Tuaran ini di samping mengukuhkan lagi silaturahim di antara kami semua.

“Penglibatan dan penyertaan program ini bukan sahaja dari Sabah tetapi juga belia dari Johor dan Selangor. Malah, dalam acara tarik tari juga disertai para peserta dari luar daerah di seluruh Sabah.

“Walaupun ada kekangan hujan semalam tetapi program yang kami laksanakan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan jumlah kehadiran harian yang kami terima seramai 5,000 orang ke atas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Ceramah Perdana sempena Tamu Belia Tuaran 2023 di Padang Istiadat Tuaran, di sini semalam.

Ghazali yang juga Presiden Tuaran Youth Town Club berkata, pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang empat hari program bagi melengkapi aspirasi belia yang bakal menjadi pemimpin pelapis yang berkaliber dan berketerampilan dalam segenap aspek. 

“Aktiviti-aktiviti yang kami laksanakan pada kali ini ada pelbagai merangkumi battle of the band, e-sport, malam solidariti pada malam pertama dan hari ini adalah malam kemuncak,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya bertekad untuk memperkasakan lagi penganjuran program berkenaan selain membuka ruang yang lebih luas kepada semua belia untuk melibatkan diri.

“Kami berhasrat untuk memasarkan Program Tamu Belia dan pada tahun mendatang, kami akan melaksanakannya lagi dan tidak akan berhenti melaksanakan program-program belia di negeri ini,” katanya.

Pada majlis itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag bersama kira-kira 5,000 umat Islam mengikuti ceramah bertajuk “Keperibadian Rasulullah SAW” yang disampaikan oleh penceramah jemputan khas, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid dan menyaksikan persembahan Kumpulan Hijaz.

Hadir sama, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular