HomeUtamaAlunan muzik & suara kumpulan Orkes Keroncong Maktab Sabah pukau lebih 5,000...

Alunan muzik & suara kumpulan Orkes Keroncong Maktab Sabah pukau lebih 5,000 penonton di Indonesia

Read Time:5 Minute, 53 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Keindahan alunan muzik dan suara dari kumpulan pelajar Orkes Keroncong Maktab Sabah berjaya memukau lebih 5,000 penonton semasa membuat persembahan di Solo Keroncong Festival (SKF), Pure Mingkunegaraan Garsopuro, Solo Kota Surakarta, Indonesia pada Julai lalu.

Shaafri dan Alleysa mendendangkan lagu keroncong semasa festival itu. – Foto ihsan SM Maktab Sabah.

SKF merupakan acara tahunan peringkat antarabangsa negara Indonesia itu berlangsung selama dua hari bermula 22 dan 23 Julai 2023, kumpulan Orkes Keroncong Maktab Sabah telah diundang oleh Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Kota Surakarta Solo Indonesia untuk kali keduanya selepas membuat persembahan di sana pada tahun lalu.

Pengarah Program ke Solo Keroncong Festival, Peringkat Antarabangsa Julai 2023 yang juga Guru Muzik Sekolah Menengah (SM) Maktab Sabah, Cikgu Shaafri Sakin berkata, kumpulan Orkes Keroncong Maktab Sabah telah diundang dan membuat persembahan di Pentas Solo Festival Keroncong Peringkat Antarabangsa di Pure Mingkunegaraan Garsopuro, Solo Kota Surakarta, Indonesia.

Shaafri (tengah) bersama kumpulan Orkes Keroncong Maktab Sabah.

“Terdapat 18 kumpulan keroncong telah menyertainya dan membuat persembahan terdiri daripada pelbagai daerah, negeri dalam Indonesia juga terdapat wakil dari negara luar seperti Malaysia (diwakili oleh Orkes Keroncong Maktab Sabah), Singapura dan seorang penyanyi jemputan Hannah Marie Standiford yang berasal dari negara Amerika Syarikat dengan menyanyikan lagu Keroncong Langgam Jawa pada festival tersebut,” katanya ketika ditemui Sabah Media selepas acara Da Capo Konsert sempena Program Kem Muzik Peringkat Negeri Sabah, bertempat di Dewan Perdana Maktab Sabah pada Sabtu lalu.

Shaafri berkata, kumpulan Orkes Keroncong Maktab Sabah terdiri daripada 17 orang pelajar dan terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kumpulan Junior (pelajar tingkatan 2 dan 3) manakala kumpulan Senior (pelajar tingkatan 4 dan 5). Rombongan turut disertai lima orang guru pengiring dari SM Maktab Sabah.

“Selain daripada membuat persembahan keroncong di Solo Keroncong Festival, rombongan pelajar dan guru pengiring sempat melawat beberapa tempat sekitar Solo dan Yogjakarta bagi tujuan lawatan sambil belajar antaranya ialah melawat pusat pembuatan alat muzik keroncong, pusat pembuatan alat muzik gendang, dan pusat pembuatan alat muzik gamelan yang berpusatkan di sekitar Solo Kota Surakarta Indonesia.

“Pelajar-pelajar dapat melihat cara pembuatan alat muzik iaitu dari proses awal hinggalah alat muzik itu siap digunakan dan ianya dibuat di depan mata pelajar. Semestinya ianya dapat menambah ilmu pengetahuan pelajar,” katanya.

Tambah beliau, sebelum pulang ke tanah air, rombongan pelajar Maktab Sabah sempat melawat Sekolah Seni Musik (SSM) Yogjakarta, Indonesia dan Institut Seni Indonesia Yogjakarta (ISI).

“Semasa berada di SSM Yogjakarta, kedatangan rombongan dari Maktab Sabah itu dialu-alukan dan disambut dengan meriah, kemudian diberi peluang melihat suasana pembelajaran pelajar yang sedang membuat latihan muzik serta melihat persembahan Pop Orkestra Sekolah Musik Yogjakrta,” katanya.

Kumpulan Orkes Keroncong Maktab Sabah semasa lawatan di Sekolah Seni Musik Yogjakarta. – Foto ihsan SM Maktab Sabah.

Dalam lawatan itu, Shaafri selaku Pengarah Projek berkata, rombongan pelajar dan guru Maktab Sabah yang diketuai oleh Abdul Jaid Paki sebagai wakil ketua rombongan, Cikgu Abdul Manaf Abdullah, Cikgu Jipanis Juali dan Siti Norkiah Ramin masing-masing sebagai guru pengiring dan Agus Suranto, Kepala Sekolah SSM Yogjakarta telah berbincang dan bersepakat akan mengadakan kerjasama dalam hal muzik seperti latihan, bengkel muzik, persembahan muzik keroncong dan orkestra.

“Ini dilakukan secara anjuran bersama antara dua buah sekolah itu di masa akan datang demi meningkatkan lagi kefahaman dan kemahiran pelajar dalam muzik di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Menurut Shaafri, SM Maktab Sabah merupakan sekolah yang pertama di Sabah mempunyai set kelengkapan peralatan muzik keroncong dan ianya bermula dari tahun 2016 lagi.

“Kumpulan muzik kami menggunakan alat muzik keroncong asli dari Indonesia.

“Kumpulan muzik ini juga tidak akan pernah putus kerana kami ada skuad pelapis di sekolah dan saya berharap pelajar-pelajar muzik yang telah menamatkan persekolahan di Maktab Sabah akan meneruskan seni muzik keroncong ini ke peringkat yang lebih tinggi, ” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai Kem Muzik Maktab Sabah Peringat Negeri Sabah 2023, Shaafri berkata, Kem Muzik yang berlangsung selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Disember 2023 bertempat di Dewan Perdana Maktab Sabah itu melibatkan tiga buah sekolah selain SM Maktab Sabah (43 orang pelajar), SMK Tambunan (22 orang pelajar) dan SK Randagong Ranau (seorang pelajar).

Eva (kiri) dan Allesya menyanyikan lagu keroncong semasa Da Capo Konsert Peringkat Negeri Sabah di Dewan Perdana Maktab Sabah pada Sabtu (3 Dis).

“Manakala 10 jurulatih muzik yang telah membantu sepanjang Kem Muzik itu berlangsung iaitu (dua orang guru Muzik dari Maktab Sabah) Cikgu Shaafri Sakin sebagai Pengarah Projek Program Kem muzik dan merangkap Ketua Jurulatih Muzik dan Cikgu Asmin Mudin sebagai Timbalan Pengarah Projek dan merangkap jurulatih muzik, jurulatih muzik lain termasuk Cikgu Miner Gimpau dari SMK Sikuati 2 Kudat, Cikgu Syaharieetins Jautin dari SMK Tambunan dan lima orang dari pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Avylla Thressa Yasaya, Zulhelmi Rizal, Erzackharry Jurah, Puteri Ain Norfatihah Lailee, Coco Lee Zi Hui dan seorang bekas graduan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan lepasan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) iaitu Nur Farahani Osman,” katanya.

Shaafri berkata, Konsert Penutupan Akhir Kem Muzik itu diberi nama ‘Da Capo Konsert’.

“Da Capo Konsert Maktab Sabah 2023 adalah bertujuan menjadi perintis
kepada penganjuran dan penubuhan kumpulan muzik yang bersifat akademik pada masa hadapan,” katanya.

Turut hadir semasa konsert tersebut, Dr. Mohd Asran Amisah Ketua Penolong Pengarah Kanan (KPPK) di Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Mohd Aizan Ermando, Penolong Pegawai Pendidikan Unit sektor Pengurusan Murid wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu, Ahmad Jaitor Terimoh wakil Bekas Penuntut Maktab Sabah (OSCA) dan Muhammad Arif Tun Sakaran YDP PIBG Maktab Sabah, Guru Penolong Kanan Maktab Sabah, Samsiah Al Malek, Abdul Jaid Paki, Johari Ag. Damit, Pengetua SMK Tambunan dan para Ibu bapa.

Konsert itu diawali dengan persembahan keroncong oleh Orkes Keroncong Maktab Sabah dengan membawa enam lagu kemudian diikuti dengan persembahan Pop Orkestra dengan mempersembahkan lima lagu termasuk satu lagu dinyanyikan oleh penyanyi terkenal negara Elica Paujin dengan iringan Pop Orkestra.

“Diharapkan konsert kem muzik ini diteruskan lagi agar usaha pembangunan insan seimbang kepada anak-anak ini melalui pengalaman muzikal, kesedaran estetik, mengembangkan daya komunikasi dan interaksi, memupuk disiplin dan kreativiti serta semangat perpaduan dapat dijayakan,” kata Shaafri.

Sementara itu, penyanyi Orkes Keroncong Maktab Sabah, Alleysa Anne Ak Alexander, 17, berkata, dia meminati lagu keroncong kerana keindahan melodinya tersendiri.

“Saya meminati nyanyian lagu keroncong kerana mempunyai keindahan melodinya serta ritmanya yang unik sekaligus menunjukkan bahawa muzik keroncong berbeza dengan genre muzik yang lain.

“Selain itu, muzik keroncong mengajar saya tentang teknik vokal yang baik dalam pembawaan ritma yang umumnya bersifat improvisasi dan memerlukan penghayatan jiwa yang mendalam,” katanya.

Menurut Alleysa lagi, lagu keroncong yang dinyanyikan diberi nafas baharu mengikut peredaran semasa supaya anak-anak muda turut meminati lagu – lagu keroncong.

“Pada pendapat saya, cara mengetengahkan lagu-lagu keroncong perlu diberi nafas baharu agar anak-anak muda meminati lagu-lagu keroncong dengan cara memainkan lagu pop terkini dan membuat kelainan dengan menggunakan alat muzik keroncong serta menggubah rentak lagu itu kepada versi muzik keroncong agar anak muda mendengar keindahan seni muzik keroncong.

“Selain beri pendedahan awal kepada generasi muda khususnya murid-murid sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Disamping sering membuat pertandingan nyanyian lagu-lagu keroncong di setiap peringkat sama ada kategori sekolah rendah, menengah, universiti, terbuka semua lapisan masyarakat dalam negara Malaysia,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular