HomeUtamaDUN Sabah : Kuasa kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu kembali...

DUN Sabah : Kuasa kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu kembali ke Sabah

Read Time:1 Minute, 16 Second

Kota Kinabalu : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu daripada Kerajaan Persekutuan oleh Kerajaan Sabah.

RUU yang disokong sebulat suara oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah itu adalah melibatkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan); Bekalan Elektrik 2024; Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024.

Ketiga-tiga RUU itu dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada persidangan DUN Khas di sini hari ini

Hajiji berkata, pengambilalihan kuasa kawal selia ke atas bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu oleh Kerajaan Sabah akan memudahkan pelan mantap bagi bekalan tenaga stabil di negeri ini.

“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri melalui penyediaan bekalan tenaga yang mencukupi, stabil, berpatutan dan mampan seperti dalam Pelan Induk Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan dilancarkan pada September tahun lalu bagi menyokong pelan hala tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri melalui ECoS akan memastikan proses pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik dilaksanakan secara berkesan dan teratur tanpa sebarang gangguan kepada pihak pemegang taruh dalam industri bekalan elektrik di negeri ini.

Katanya, inisiatif itu juga adalah sebahagian daripada penurunan kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Selepas pewartaan enakmen itu, ECoS akan menjadi badan berkuasa yang mengawal selia sektor bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu di Sabah berkuat kuasa serta- merta.

ECoS telah pun memperoleh kuasa kawal selia ke atas sektor bekalan gas daratan sejak 10 Januari tahun lalu. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

G57 lapor SPRM, gesa siasat kemelut air di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular