HomeUtamaWira Op Daulat yang ditembak, ditetak pengganas Sulu terima PGB

Wira Op Daulat yang ditembak, ditetak pengganas Sulu terima PGB

Read Time:2 Minute, 16 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Wira Op Daulat, Deputi Superintendan Mohamad Hasnal Jamil dikurniakan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pegawai polis itu yang cedera ditembak dan ditetak pengganas Sulu dalam Op Daulat di Kampung Simunul, Semporna di Sabah pada Mac 2013, adalah penerima tunggal PGB sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Balairung Seri, Istana Negara semalam.

PGB adalah pangkat kedua antara lima pangkat dalam darjah-darjah Gagah Perkasa dan ia dikurniakan khusus kepada mereka yang menunjukkan kegagahan dan keberanian luar biasa ketika berhadapan musuh.

Mohamad Hasnal yang kini bertugas di Cawangan Khas Bukit Aman mengakui sebak menerima pengiktirafan itu dan mendedikasikan penganugerahan kepada semua rakan seperjuangannya yang terbabit dalam operasi berkenaan termasuk mereka yang gugur.

“Setiap masa akan teringat (peristiwa Op Daulat)… ketika melangkah di Balairung Seri (Istana Negara), menghadap Agong… saya masih terkenang peristiwa itu.

“Tuanku (Al-Sultan Abdullah) juga tadi (ketika majlis santapan) sempat menzahirkan ucapan terima kasih atas jasa, sumbangan dan pengorbanan saya dan rakan-rakan yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara

“Pada saya, sumbangan saya ini bukanlah besar dan ramai lagi telah berjuang dan berkorban untuk negara, namun pengiktirafan ini menjadi satu kenangan untuk sumbangan kecil saya kepada negara,” katanya ketika ditemui selepas istiadat itu hari ini.

Mohamad Hasnal dilihat menahan sebak dan matanya berkaca apabila menceritakan kembali kejadian yang hampir meragut nyawanya, apabila tiga tembakan terkena bahagian perut hingga tembus ke belakang badan dan lengan kirinya.

Selain ditembak, Mohamad Hasnal turut ditetak di kepala dan tangan dengan kapak oleh musuh.

“Sehingga kini, saya masih mendapatkan rawatan susulan untuk membetulkan saraf pada bahagian tangan yang tercedera, namun ini sedikit pun tidak memberi trauma atau melunturkan semangat untuk terus berkhidmat atau menjalankan tugas.

“Saya anggap ini hanya liku-liku pekerjaan sebagai anggota polis, kalau tidak menempuh cabaran seperti ini bukanlah polis namanya,” kata anak jati Kedah itu.

Pada masa sama, pegawai polis itu turut menitipkan pesanan kepada semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk sentiasa bersedia dan menjalankan tanggungjawab dengan penuh ikhlas dan amanah.

“Jangan pernah khianati amanah ini, jika tiba panggilan perjuangan untuk negara… kita sahut dan pergilah berjuang,” katanya. 

Pada Februari 2013, Malaysia dikejutkan dengan pencerobohan pengganas bersenjata Sulu yang memasuki perairan negara secara berperingkat di FELDA Sahabat, Lahad Datu, yang membawa kepada pertempuran pada 1 Mac di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Kampung Simunul, Semporna yang turut mengorbankan 68 pengganas Sulu. 

Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013, dengan enam anggota polis terkorban dalam peristiwa berdarah pada 2 Mac 2013 di Kampung Simunul.

Mereka adalah Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Deputi Superintendan Michael Padel, Sarjan Mejar Baharin Hamit, Sarjan Mejar Abdul Azis Sarikon, Sarjan Salam Togiran dan Koperal Mohd Azrul Tukiran.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan curi kabel punca gangguan bekalan di Kinarut

Mahkamah Kota Kinabalu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular