HomeUtamaProses penggerudian telaga tiub UMS sudah dimulakan

Proses penggerudian telaga tiub UMS sudah dimulakan

Read Time:1 Minute, 51 Second

Kota Kinabalu : Proses penggerudian empat telaga tiub bagi mengurangkan masalah air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sudah mula dilaksanakan oleh dua kontraktor yang dilantik.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, empat telaga tiub itu adalah sebahagian daripada enam telaga tiub yang lokasinya sudah dikenal pasti.

“Sekarang proses penggerudian untuk empat telaga tiub yang sudah dikenal pasti lokasinya sebelum ini sedang proses penggerudian dan pihak Unit Penyelarasan Pelaksaan (ICU) pun sudah membuat lawatan ke lokasi tersebut dan ini akan dilaporkan setiap minggu.

“Minggu depan hari isnin kitacakan mengadakan mesyuarat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan ini akan dilaporkan. Menteri juga akan beri laporan kepada mesyuarat Kabinet pada hari berikutnya. Jadi kita akan memantau perkara ini dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan acara ‘mencelik mata singa’ sempena sambutan tahun baharu cina di Inanam di sini hari ini.

Pembinaan sistem telaga tiub itu dibiayai menggunakan dana RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu bagi membantu UMS menangani krisis bekalan air di kampus induknya, di sini.

Minggu lalu, Mustapha diberi taklimat mengenai kerja mengenal pasti lokasi telaga tiub oleh pakar geologi dan wakil kontraktor yang melaksanakan projek berkenaan selepas masalah air dihadapi pelajar UMS mendapat perhatian Perdana Menteri.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, kontraktor yang dilantik perlu menyiapkan keseluruhan projek itu sehingga air dapat disalurkan mengikut tarikh yang ditetapkan mengikut kontrak penghujung Mac ini.

“Tapi saya mahu tekankan sekali lagi bahawa ini adalah projek jangka masa pendek untuk membantu Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang sekarang ini sedang berusaha untuk memulihkan dan menstabilkan bekalan air di kawasan Kota Kinabalu terutamanya.

“Jadi apa yang kita buat ini hanya langkah sementara sahaja. Kita mahu supaya kita bergantung terus dengan sumber air yang bersih, terawat daripada JANS.

“Justeru kita minta JANS, Kementerian Kerja Raya dan juga Kerajaan Negeri dapat , memantau perkara ini supaya dapat membantu pelajar-pelajar kita agar dapat air terawat secara berterusan daripada JANS,” katanya.

Isu air di UMS ada kaitan dengan kekurangan bekalan air yang disalurkan dari loji rawatan air (LRA) di Tuaran ke kawasan utara bandar raya Kota Kinabalu menyebabkan bekalan kepada pengguna, termasuk di UMS berdepan gangguan sejak kira-kira setahun lalu. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular