HomePendapatPadi: Sudah Lama Pi Mai Pi Mai Tang Tu..

Padi: Sudah Lama Pi Mai Pi Mai Tang Tu..

Read Time:6 Minute, 57 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

1.        Beberapa hari lepas, Yang di-Pertuan Agong telah melancarkan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala-Sekinchan di Kumpulan Pengguna Air (KPA) Permatang Durian, Skim Merchong, Pekan, Pahang.

2.        Fasa pertama pelaksanaan projek model SMART SBB Ala-Sekinchan tersebut melibatkan seramai 84 petani dengan kawasan sawah padi seluas 168 hektar. Ianya di usahakan oleh petani bersama sebuah syarikat peneraju, dan di kawal selia oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu/ Integrated Agriculture Development Area (IADA) Pekan. Secara keseluruhan, terdapat 10 Kumpulan Pengguna Air (KPA) di bawah Skim Merchong, dengan keluasan sawah padi sejumlah 4,134 hektar dan seramai 1,716 petani.

3.        Projek penanaman padi model SMART SBB Ala-Sekinchan merupakan kombinasi dua inisiatif yang di laksanakan oleh Kementerian Pertanian & Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM), iaitu Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dan Model Padi Ala Sekinchan. Secara am-nya, ianya melibatkan penanaman padi secara berkelompok yang di uruskan sebagai estet padi, dengan berlandaskan prinsip pertanian Pengetahuan, Sikap dan Amalan yang di praktikkan oleh petani padi di Sekinchan, Selangor.

4.        Pada Mei 2023, projek SMART SBB Ala-Sekinchan telah di lancarkan oleh Kerajaan Malaysia, hasil daripada idea Menteri Pertanian & Keterjaminan Makanan. Ianya bertujuan untuk meningkatkan hasil padi dengan segera mengguna-pakai model penanaman padi yang sudah terbukti berkesan dan berjaya secara konsisten di Sekinchan.

5.        Untuk sekian lama, petani padi di Sekinchan telah berjaya menghasilkan padi dengan jumlah yang jauh lebih tinggi dari lain-lain kawasan penanaman padi di Malaysia, iaitu sekitar 12 tan/ hektar. Oleh kerana itu, Sekinchan senantiasa menjadi model rujukan dan kejayaannya juga dicemburui oleh para petani padi di seluruh negara.

6.        Pada Ogos 2023, Menteri Pertanian & Keterjaminan Makanan telah mengumumkan bahawa projek perintis SMART SBB Ala-Sekinchan yang dilaksanakan di Kg Lat 1000, Perlis telah berjaya menghasilkan padi sebanyak 10.45 tan/ hektar. Ini merupakan kejayaan yang amat memberangsangkan, memandangkan hasil padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) adalah di antara 4.76 hingga 6.49 tan/ hektar, untuk tempoh 20 tahun (2000 – 2019).

7.        Pada awal tahun 2021, Kementerian Pertanian & Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) telah melancarkan projek Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) sebagai satu inisiatif baru untuk melonjakkan kemampanan industri padi negara. Pihak KPKM telah melantik beberapa syarikat peneraju untuk mengusahakan penanaman padi secara estet padi bersama petani yang berminat.

8.        Ini akan dapat menangani isu penanaman padi yang di usahakan oleh petani secara kecilan yang tidak produktif dan tidak efisyen. Sebagai contoh. Di kawasan MADA, yang meliputi negeri Kedah dan Perlis, purata keluasan sawah padi yang di usahakan oleh petani hanyalah 2.12 hektar.

9.        Penanaman padi yang di usahakan secara berkelompok di jangka dapat memberikan manfaat skala ekonomi/ economies of scale, di mana pengurusan estet padi yang cekap dapat meningkatkan produktiviti, mengoptimumkan kos, melipatgandakan hasil padi, dan seterusnya menambah pendapatan petani.

10.      Namun begitu, pelaksanaan SMART SBB telah tersasar jauh. Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2022 (LKAN 2022), inisiatif SMART SBB telah gagal untuk mencapai sasaran yang telah di tetapkan. Kegagalan pelaksanaan SMART SBB yang telah di kenal-pasti termasuklah:

  • hanya 3,762 hektar (2.5%) kawasan sawah padi sahaja yang telah di usahakan secara SMART SBB, berbanding dengan sasaran 150,000 hektar
  • hasil padi tertinggi yang telah di capai adalah 6.05 MT/ hektar, berbanding dengan sasaran 7.0 MT/ hektar

11.      Pelaksanaan SMART SBB di buat tanpa sebarang paksaan kepada para petani untuk mengusahakan penanaman padi secara berkelompok bersama syarikat peneraju yang di lantik oleh Kementerian Pertanian & Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM). Penyertaan petani adalah secara sukarela, bergantung kepada perbincangan dan persetujuan bersama dengan syarikat peneraju terbabit.

12.      Maka, persoalannya ialah kenapa penyertaan petani di bawah SMART SBB amat rendah. Ianya seolah-olah para petani tidak berminat untuk mengusahakan padi secara berkelompok dengan syarikat peneraju terbabit, walaupun matlamat serta manfaat SMART SBB adalah jelas dan dapat menguntungkan para petani.

13.      Mungkin para petani masih tidak yakin pelaksanaan SMART SBB mampu mencapai sasaran produktiviti padi yang di tetapkan, dan dapat menambah pendapatan mereka. Dalam hal ini, petani tidak boleh di persalahkan kerana usaha Kerajaan Malaysia terdahulu melaksanakan penanaman padi secara estet padi telah gagal mencapai produktiviti padi yang tinggi. Oleh yang demikian, tiada kejayaan estet padi yang boleh di jadikan model rujukan untuk meyakinkan para petani. Seeing is believing…

14.      Sebagai contoh: FELCRA, iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Malaysia, menguruskan estet padi terbesar di Malaysia seluas lebih 4,000 hektar di Seberang Perak, Perak. Estet padi tersebut di bina secara tersusun di satu tempat, dengan kemudahan infrastruktur berkaitan. Namun begitu, estet padi FELCRA tersebut hanya berjaya menghasilkan padi sebanyak 5 tan/ hektar sahaja. Pencapaian ini tiada beza dengan produktiviti padi yang di hasilkan oleh para petani yang di usahakan secara individu.

15.      Pada penghujung tahun 2023, semasa Persidangan Dewan Rakyat, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia telah mengumumkan bahawa FELCRA di pertanggungjawabkan oleh Kerajaan Malaysia untuk membangunkan estet padi berskala besar di Sabah dan Sarawak, sebagaimana estet padi yang di uruskan oleh FELCRA di Seberang Perak. Ini adalah antara usaha Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan Kadar Sari Diri beras negara.

16.      Justeru itu, dengan tambahan tanggungjawab tersebut, FELCRA mesti segera bersedia untuk meningkatkan keupayaan menguruskan estet padi dengan cekap dan produktif, agar agenda keterjaminan makanan negara dapat tercapai seperti yang di harapkan. Kegagalan FELCRA di Seberang Perak tidak boleh berulang di Sabah dan Sarawak. Ianya bukan sahaja akan merencatkan agenda keterjaminan makanan negara, bahkan akan melemahkan usaha kerajaan untuk meyakinkan para petani agar mengusahakan penanaman padi secara berkelompok di bawah SMART SBB.

17.      Pada masa yang sama, pihak kerajaan juga mesti meyakinkan para petani bahawa model penanaman padi secara Ala-Sekinchan akan dapat memberi pulangan yang lumayan, memadai dengan risiko kewangan yang perlu di tanggung oleh petani.

18.      Sebagai contoh. Menurut maklumat MADA, kos penanaman padi di bawah SMART SBB Ala-Sekinchan di MADA adalah RM 5,821/ hektar. Manakala kos penanaman padi secara sediada di MADA pula adalah RM 2,836/ hektar. Oleh itu, para petani yang menggunakan model SMART SBB Ala-Sekinchan terpaksa menanggung kos tambahan sebanyak RM 2,985/ hektar.

19.      Kos penanaman padi Ala-Sekinchan adalah 105% lebih tinggi dari kos penanaman padi secara sediada kerana ianya melibatkan beberapa perkara utama, iaitu: penanaman padi menggunakan jentera jentanam/ transplanter, serta penambahan input pertanian seperti bahan pemulih tanah, baja tambahan, racun kulat dan racun bakteria.

20.      Justeru itu, penanaman padi Ala-Sekinchan mesti mencapai produktiviti padi yang tinggi secara konsisten, sehingga 10 tan/ hektar. Oleh kerana kos telah meningkat lebih 100%, maka hasil padi juga mesti meningkat lebih 100% untuk menampung penambahan kos tersebut, dan seterusnya memberi pendapatan yang lebih banyak kepada petani. Sekiranya gagal, petani akan menikmati pendapatan yang tidak setimpal dengan risiko kewangan tersebut. Malah para petani mungkin juga akan mengalami kerugian.

21.      Ramai petani telah mengusahakan penanaman padi berpuluh tahun, turun-menurun dari generasi ke generasi. Sudah pasti mereka telah mendengar, melihat serta melaksanakan pelbagai inisiatif yang di lancarkan oleh Kerajaan Malaysia untuk memperkasa industri padi dan beras negara. Malangnya, sehingga kini hasil padi kekal rendah tanpa peningkatan yang ketara, serta majoriti petani padi masih di belenggu penjara kemiskinan.

22.      Justeru itu, Kerajaan Malaysia mesti membuktikan model SMART SBB Ala-Sekinchan ini dapat mencapai matlamat yang di sasarkan. Hanya kejayaan secara konsisten akan dapat meyakinkan petani untuk menerima inisiatif ini dan bersama dengan kerajaan untuk memenuhi agenda keterjaminan makanan negara. Petani mesti yakin untuk mengguna-pakai model SMART SBB Ala-Sekinchan tanpa was-was.

23.      SMART SBB Ala-Sekinchan kena berjaya. Sebarang kegagalan akan memenjara Malaysia di takuk yang sama.

24.      Jangan lagi pi mai pi mai tang tu

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Large Scale Solar Menawarkan ‘Value for Money’ untuk Bekalan Elektrik Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular