Kota Kinabalu : Semua pemain Sabah FC diharap agar dapat mempamerkan prestasi terbaik pada perlawanan separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN di Australia pada 13 Februari ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu diyakini mampu berdepan Macarthur FC yang dilihat antara pasukan terkuat di negara itu.
“Mereka (pemain Sabah FC) sedang giat melakukan latihan dan perlawanan dijangka akan dibuat pertengahan Februari ini di Sydney.
“Pasukan Macarthur adalah satu pasukan yang agak kuat juga dalam Liga Australia dan kita harap Sabah FC dapat mempamerkan prestasi yang baik dalam perlawanan itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan mesra dengan peniaga sempena Tahun Baharu Cina di Pekan Tanjung Aru dan Pekan Sembulan, di sini, semalam.
Shahelmey ditanya mengenai harapannya terhadap Sabah FC bagi menghadapi perlawanan kalah mati itu selepas memenangi saingan Kumpulan H, Piala AFC 2023 yang berakhir pada 14 Disember lalu.
Sementara itu, mengulas sama ada kerajaan negeri menyediakan insentif tertentu sekiranya Sabah FC memenangi perlawanan itu, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah meminta supaya pemain memberikan persembahan yang baik terlebih dahulu.
“‘Perform’ (bermain) dululah,” katanya.
Semua pemain Sabah FC yang kekal bersama pasukan itu sudah kembali menjalani latihan sejak awal Januari lalu.
Hanya beberapa pemain import dan kebangsaan yang bercuti dan terbabit dengan perlawanan Piala Asia 2023, antaranya Saddil Ramdani, Darren Lok, Dominic Tan dan Stuart John Wilkin baru kembali menyertai pasukan bermula akhir Januari lalu.
Sabah FC dijangka meletakkan sandaran tinggi terhadap semua kesebelasan utamanya, terutama penyerang import, Ramon Machado, selain Darren dan Saddil untuk mencipta gol pada perlawanan itu nanti. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH