HomeIsu tempatan'Terima kasih SESB, kini tidak perlu menumpang rumah orang lagi' - Roslina

‘Terima kasih SESB, kini tidak perlu menumpang rumah orang lagi’ – Roslina

Read Time:1 Minute, 30 Second

Ranau: Seorang ibu tunggal bersama empat anak yang menumpang di rumah ahli keluarga lain sejak tiga tahun lalu kini mampu menarik nafas lega apabila menerima sebuah rumah Bantuan Mesra Rakyat (BMR).

Penerima rumah menerusi projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Rose @ Roslina Daimin, 45, memaklumkan sejak suaminya meninggal dunia, mereka sekeluarga terpaksa menumpang kerana berhadapan kesempitan hidup.

“Saya terharu dan sangat bersyukur atas bantuan ini apatah lagi sudah sekian lama saya dan anak-anak hanya bergantung ehsan daripada saudara mara untuk berteduh.

“Selepas pemergian suami tiga tahun lalu, saya menyara keluarga dengan hanya bercucuk tanam dan menjual hasil pertanian. Saya sangat berterima kasih SESB atas bantuan ini,” katanya.

Rose berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima kunci rumah dalam satu majlis ringkas di perkarangan kediaman tersebut di Kampung Langsat, di sini, semalam.

Untuk rekod, pemilihan penerima bantuan rumah BMR ini dilaksanakan dengan kerjasama dan saranan daripada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).

Penyerahannya disempurnakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Joachim berkata program CSR SESB itu amat bertepatan dalam membantu mensejahterakan kehidupan rakyat tanpa mengira suku kaum.

“Tahniah kepada penerima dan terima kasih kepada pihak SESB yang telah memperuntukkan sebuah rumah yang mempunyai tiga bilik tidur, ruang dapur, ruang tamu dan tandas.

“Kerajaan Negeri sangat mengalu-alukan program seperti ini. Usaha ini menunjukkan keprihatinan SESB dalam membantu Kerajaan untuk membina prasarana asas seperti rumah kediaman kepada penduduk yang miskin.

“Program bantuan rumah seperti ini juga bertepatan dengan usaha Kerajaan untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan luar bandar terpelihara,” katanya.

Hadir sama pada program tersebut, Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, Pengerusi SESB, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar. – SABAH MEDIA / FOTO SESB

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular