HomeIsu tempatanPencinta puisi Islam bakal berkampung di Membakut Jun depan

Pencinta puisi Islam bakal berkampung di Membakut Jun depan

Read Time:2 Minute, 28 Second

Membakut: Para pencinta puisi Islam dari pelbagai Nusantara bakal berkampung di daerah sempena penganjuran program Mahrajan Persuratan dan Kesenian Nusantara Ke-10, Jun depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sempena program itu, pihaknya akan menggabungkan majrajan persuratan dengan festival marhaban dan kompang.

Katanya, ia adalah bagi memberi impak maksimum kepada usaha menarik minat masyarakat khususnya golongan muda untuk melestarikan sastera Islam.

“Tahun ini, kita akan mengadakan Mahrajan Persuratan dan Kesenian Nusantara Membakut pada bulan Jun. Pejabat Daerah Membakut seperti biasa akan bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan kerajaan negeri di bawah Pejabat TSKN Tugas-tugas Khas.

“Kita akan adakan sayembara yang sama termasuk sayembara menulis puisi, seminar persuratan, anugerah tokoh penyair dari Indonesia dan Sabah.

“Dari segi persembahan, kita akan gabungkan festival marhaban dan kompang peringkat Negeri Sabah di samping bengkel khat, pertandingan menulis kaligrafi peringkat Borneo.

“Untuk sastera, kita adakan seminar, bengkel penulisan, sayembara menulis puisi dan seni kebudayaan di Dewan Seri Wawasan Kampung Pimping,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman keputusan Sayembara Menulis Puisi Berunsur Islam sempena Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara Ke-9 2023, di sini semalam.

Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, sayembara tersebut adalah untuk menyemarak dan melestarikan perkembangan sastera Islam di negeri ini.

“Sayembara ini merupakan anjuran Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Pejabat Daerah Membakut dengan Kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Tujuan sayembara ini diadakan ialah untuk menyemarak dan melestarikan perkembangan sastera Islam, khususnya puisi Islam di Sabah.

“Selain itu, kita juga mahu mendapatkan lebih banyak karya sastera yang berunsur Islam dan mendedahkan penulis muda kepada penulisan karya sastera yang berunsur Islam,” katanya.

Mengenai sayembara berkenaan, beliau berkata, pihaknya menerima sebanyak 266 buah puisi yang dihasilkan oleh 156 orang penyair dari beberapa negara ASEAN yang bertemakan ‘Ke Arah Penyatuan, Kesejahteraan dan Kemajuan Ummah’.

“Penyertaan termasuklah 94 puisi yang dihasilkan oleh penyair dari Indonesia, 156 puisi oleh penyair Malaysia, tujuh puisi dari Brunei Darussalam, lima puisi dari Thailand dan empat lagi dari Singapura.

“Semua puisi yang dihantar untuk sayembara ini berunsur Islam dan dinilai oleh tiga orang ahli panel yang telah dilantik iaitu Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Datuk Jasni Matlani, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Prof. Datuk Dr. Ts. Ramzah Dambul dan Perancang Bahasa DBP, Noor Ainna Abd Hamid dalam dua peringkat iaitu peringkat awal dan peringkat akhir,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Arifin, kualiti karya yang dihasilkan pada tahun lepas didapati meningkat dan hampir semua penyertaan menepati tema yang ditetapkan, selain penglibatan para penyair yang terkenal.

Ketika ditanya mengenai prestasi penyair tempatan, Jasni menjelaskan, persaingan yang agak tinggi dalam kalangan penyair dan olahan isu Islam yang lebih matang merupakan faktor utama yang dikenal pasti dan pihaknya yakin kelemahan tersebut dapat diatasi pada musim depan.

Dalam pada itu, Arifin turut mengumumkan, buku yang memuatkan 60 buah puisi berkaitan Palestine hasil nukilannya bakal dilancarkan sebagai buah tangan kepada para penggemar puisi Islam menjelang Ramadan ini.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular