HomeUtamaTAR UMT Sabah bantu bangun pendidikan tinggi negeri

TAR UMT Sabah bantu bangun pendidikan tinggi negeri

Read Time:3 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU: Pembukaan Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) Cawangan Sabah bertepatan dengan aspirasi kerajaan negeri untuk membangunkan modal insan yang berkualiti di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata beliau menyambut baik inisiatif pihak pengurusan tertinggi TAR UMT atas inisiatif mereka mengembangkan sayap ke Sabah, sekali gus bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam usaha membantu kepada pembangunan pendidikan di negeri ini.

“Sesungguhnya kewujudan TAR UMT Cawangan Sabah ini memberi banyak peluang dan pilihan kepada anak-anak Sabah untuk melanjutkan pelajaran mereka ke universiti tanpa perlu meninggalkan negeri ini,” katanya di majlis perasmian TAR UMT Cawangan Sabah di Alam Mesra di sini hari ini.

“Saya mengalu-alukan falsafah TAR UMT ‘Beyond Education’ yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik tetapi juga memupuk kompetensi penting dan membangunkan nilai sivik dalam diri pelajarnya. Ini merupakan perkembangan holistik yang akan memperkasakan pelajar khususnya golongan belia di Sabah bukan sahaja untuk mencapai cita-cita mereka
malah turut menyumbang kepada pembangunan Negeri,” katanya.

Hajiji berkata pendidikan merupakan tunjang kemajuan dan pembangunan dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan anak-anak di Sabah mendapat pendidikan yang terbaik.

“Itulah sebabnya modal insan adalah satu daripada tiga teras utama pelan pembangunan kita iaitu, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Modal insan adalah aset kita yang paling besar. Dengan melabur dalam pendidikan, latihan dan pembangunan kemahiran, kita menyasarkan
untuk menyediakan penduduk kita untuk menghadapi cabaran dan peluang masa depan,” katanya.

Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM475 juta untuk memperkukuh pembangunan modal insan pada tahun ini, katanya sambil menambah golongan belia merupakan sebahagian besar penduduk Sabah dan Kerajaan Negeri kekal fokus dalam memperkasakan belia agar mencapai
potensi sepenuhnya bagi memacu pembangunan masa depan Sabah.

Beliau berkata selaras dengan Dasar Belia Sabah, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM16.9 juta untuk melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia Sabah yang merangkumi aktiviti sukarelawan dan perpaduan sosial.

“Malah, kita akan terus memberikan sumber-sumber yang diperlukan untuk melaksanakan pelbagai program bagi belia kita, termasuklah aktiviti kepimpinan, kemahiran, dan keusahawanan.

“Skim pembangunan belia seperti Skim Kejayaan Usahawan Belia Sabah (SYABAS) akan diteruskan untuk menyokong usahawan muda dalam memulakan dan mengukuhkan usaha keusahawanan mereka,” katanya.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pelbagai program dan inisiatif untuk menyokong dan melengkapkan belia antaranya Majlis Perundingan Pelajar (MPPS) yang dianggotai oleh pemimpin pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari seluruh negara termasuk universiti, politeknik, komuniti dan institut kemahiran serta sekolah menengah.

“Ini adalah platform penting untuk anak muda Sabah berkongsi pendapat dan aspirasi mereka dengan kita bagi memastikan kejayaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Ia adalah platform strategik untuk belia di Sabah terlibat dalam pembangunan negeri sambil belajar dan oleh itu, kita akan terus memperkukuh lagi inisiatif ini untuk menyemai kecemerlangan pemimpin masa depan kita,” katanya.

Ketua Menteri berkata penyediaan pendidikan tinggi yang berkualiti juga amat penting. Menurutnya, adalah penting bahawa sebahagian besar populasi pelajar di Sabah menceburi pendidikan STEM (Sains, Teknologi. Kejuruteraan dan Matematik).

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah telah menrangka Pelan Strategik 2022-2025 sebagai panduan untuk melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi memperkasakan ekosistem sains, teknologi, inovasi dan economy (STIE) di Sabah.

“Pelan ini menyasarkan sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar sekolah berada dalam aliran sains menjelang 2025. Dengan sasaran ini, adalah menjadi lebih penting bagi Sabah untuk mempunyai institusi pengajian tinggi yang berkualiti untuk menyediakan kelayakan pengajian tinggi berkaitan STEM yang cemerlang untuk pelajar di Sabah,” katanya.

Hajiji berkata pelbagai insentif telah diwujudkan untuk membantu beban kewangan pelajar Sabah seperti Biasiswa Pelajar Cemerlang Sabah, Biasiswa Pelajar Luar Bandar Cemerlang, biasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta, dan dermasiswa melalui Yayasan Sabah.

“Pada 2022, Kerajaan Negeri telah mengutip RM55.7 juta untuk menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dan sehingga Disember 2023, lebih 2,800 pelajar yang mengikuti pengajian tinggi di Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan luar negara telah menerima bantuan kewangan daripada TPNS.

“Di samping itu, saya gembira mengetahui bahawa dalam kumpulan penerima ini, 12 daripadanya adalah pelajar TAR UMT.

“Dalam melangkah ke hadapan, marilah kita bersama-sama memastikan belia kita kekal
berdaya saing dan mampu menyumbang kepada kejayaan aspirasi Sabah Maju Jaya dan negara secara keseluruhannya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular