HomeUtamaJKDM Sabah rampas tiga kontena daging ayam beku lebih 81,000kg elak cukai

JKDM Sabah rampas tiga kontena daging ayam beku lebih 81,000kg elak cukai

Read Time:2 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas lebih 81,000 kilogram daging ayam beku dianggarkan bernilai RM 931,500 ketika menjalankan pemeriksaan ke atas tiga kontena yang tiba dari Pelabuhan Klang, Selangor ke Pelabuhan Sepanggar pada 2 dan 8 Februari lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, pada 2 Februari 2024 jam 3:10 petang dan 8 Februari 2024 jam 11:00 pagi, bertindak atas maklumat yang diperolehi oleh Cawangan Risikan Negeri, JKDM ZON SABAH, pasukan pemeriksa dianggotai oleh pegawai serta anggota JKDM dari Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Zon Sabah telah membuat pemeriksaan ke atas tiga kontena yang tiba dari Pelabuhan Klang, Selangor.

“Kontena ini diikrarkan mengandungi dagangan “Frozen Chicken Part, Boneless Breast dan Frozen Chicken Part, Bone In Legs”.

“Hasil pemeriksaan fizikal ke atas tiga buah kontena tersebut, pasukan pemeriksaan telah mendapati dagangan yang dimuatkan dalam kesemua kontena adalah daging ayam beku yang terdiri daripada bahagian dada ayam dan tulang paha ayam.

“Ketiga-tiga kontena ini yang didalamnya berisi muatan daging ayam beku berasal dari Negara Thailand dan di bawah masuk ke negara ini melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 16 Januari 2024 dengan menggunakan borang kastam no.8 (in-transit) menggunakan mod darat dan destinasi seterusnya adalah ke Pelabuhan Klang,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, sepatutnya, barang dagangan ini, diikrar menggunakan Borang Kastam K1.

“Hasil semakan lanjut, sepatutnya dagangan diikrar menggunakan Borang Kastam K1 semasa pergerakan keluar daripada Zon Bebas ke Pelabuhan Klang dan seterusnya menggunakan Borang K3 dari Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Sepanggar. Namun didapati semasa keluar dari Zon Bebas tidak diikrar menggunakan Borang K1. Sebaliknya terus diikrar menggunakan Borang K3.

“Modus operandi (MO) bagi kes ini adalah pihak syarikat dan agen yang terlibat mengelakkan cukai tanpa menggunakan Borang Kastam No.1,” jelas beliau.

Beliau berkata, nilai dagangan di dalam tiga buah kontena tersebut dianggarkan RM 931,500 dengan cukai terlibat sebanyak RM 186,300.00.

“Kesemua barang dagangan ini telah ditahan dan disita. Kes ini masih dalam siasatan lanjut dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Jabatan bagi tindakan selanjutnya selepas siasatan selesai.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(g), Akta Kastam 1967. Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai barangan itu dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barangan itu, atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” tegasnya.

Sehubungan dengan itu, Mohd Nasir menggesa orang ramai supaya membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan melibatkan rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan lain-lain termasuk dadah serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

Katanya, orang awam juga diseru beri kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1- 800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri dan pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular