Membakut: Peniaga bazar Ramadan diingatkan untuk sentiasa menjaga kesihatan diri selain memastikan kualiti dan kebersihan makanan yang dijual sentiasa terjaga.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif membuat gesaan itu dalam Program Walkabout Bazar Ramadan di Pekan Membakut, pada Rabu.
“Saya menggesa kepada semua pengusaha bazar supaya sentiasa menjaga kebersihan dan kualiti makanan yang mereka sajikan, yang mereka jual.
“Kita juga berharap agar bazar kali ini akan membawa keuntungan kepada semua peniaga dan paling penting, mereka (peniaga bazar) perlu menjaga kesihatan hingga Aidilfitri nanti kerana sekarang ini kita berdepan dengan cuaca yang agak panas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan 92 peniaga bazar Ramadan dan menyampaikan sumbangan di Dewan Kesenian Islam Membakut di sini semalam.
Pada pertemuan itu, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut turut bertanya khabar selain turut menyampaikan bantuan yang sewajarnya.
“Saya berharap mereka dapat memanfaatkan ruang ini dengan menjadikan bazar sebagai salah satu mata pencarian,” jelas beliau.
Dalam program berasingan, Arifin juga menyampaikan Bingkisan Ramadan 1445H kepada Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan ketua-ketua adat dari 36 buah kampung dalam DUN Membakut.
“Hari ini kita mengagihkan Bingkisan Ramadan yang kita adakan setiap tahun untuk semua rumah di seluruh DUN Membakut ini dan kita berharap ia dapat dimanfaatkan sebagai cenderamata daripada kita sempena bulan Ramadan,” katanya.
Lebih 4,000 helai sejadah serta kurma dan buku kecil zikir diagihkan kepada JKKK antaranya JKKK Kg Mandangin, Kg Lambunau/ Layun, Kg Lumat, Kg Bingkulas, Kg Tiong Baru, Kg Jambatan Baru, Kg Mawao, Kg Bambangan, Kg Lembah Poring, Kg Brunei, Kg Binsulok, Kg Bawan, Kg Tandoi, Kg Gana, Kg Bandau dan lain-lain.