Papar : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat Datuk Ir Shahelmey Yahya lebih mengutamakan kestabilan politik negeri berbanding menyokong Langkah Kinabalu yang dicetuskan UMNO Sabah dan Warisan pada awal tahun lalu.
Shahelmey berkata, beliau juga sudah menimbang risiko yang bakal dihadapi ketika membuat keputusan bagi menyokong Kerajaan Sabah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.
“Saya tidak sehaluan dengan beliau (Bung) sewaktu percubaan Langkah Kinabalu pada Januari 2023 kerana pada pandangan saya pada waktu itu saya lebih mengutamakan kestabilan politik Sabah.
“Sewaktu membuat keputusan untuk tidak bersama dengan kumpulan Datuk Bung pada Langkah Kinabalu tahun lalu, saya juga telah menimbang risiko yang bakal diambil dari keputusan yang dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 2024 di sini, semalam.
Sebelum ini, Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, parti itu tidak akan mencalonkan semula wakil rakyat yang tidak sehaluan dengan perjuangan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Katanya, pihaknya tidak mahu wakil rakyat UMNO yang tidak mempunyai ketelusan dan tidak setia kepada parti.
Justeru, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan sentiasa berfikiran terbuka dan mahu menumpukan tugas yang diamanahkan sehingga penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berakhir.
“Jadi saya berfikiran terbuka, kita ada satu tahun setengah lagi sebelum tempoh penggal ini berakhir secara berakhir secara rasminya sama ada ke penghujung atau dipanggil awal, itu terpulang kepada Ketua Menteri.
“Saya mahu memberi tumpuan kepada kerja saya dan saya akan buat perhitungan politik apabila sampai masanya,” katanya.
Shahelmey sebelum ini digantung keahliannya dari UMNO selama enam tahun mulai 2023 selepas ingkar mengikut keputusan UMNO Sabah pada Langkah Kinabalu. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN