Kota Kinabalu : Kerajaan negeri bercadang untuk menjadikan Pulau Gaya sebagai salah stau tarikan pelancongan di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, untuk tujuan itu, Kerajaan turut bercadang untuk menyusun semula penempatan di Pulau Gaya khususnya yang melibatkan kawasan setinggan.
“Kawasan-kawasan setinggan umpamanya, ini kita kena susun dan fikirkan cadangan untuk menempatkan mereka untuk mendapat rumah yang akan dibina oleh Kerajaan nanti di tanah besar Sabah.
“Kerana kita mahu nampak Pulau Gaya ini sebagai tarikan pelancongan, orang datang di Kota Kinabalu, mereka lihat Pulau Gaya dan jika keadaan tidak tersusun, banyak setinggan berada di sini, rumah yang tidak sepatutnya didirikan makai a akan mencemar sedikit usaha kita untuk menarik pelancong dan juga mencantikkan Pulau Gaya ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Kembara Kasih Ramadan di Pulau Gaya di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari.
Hajiji berkata, Pulau Gaya juga mempunyai kualiti untuk menjadi tarikan pelancong yang baik namun kehadiran setinggan yang tidak tersusun dilihat tidak sesuai dengan rancangan berkenaan.
“Pulau Gaya mempunyai tempat istimewa dalam sejarah kita dan ia terletak hanya kira-kira lima minit perjalanan menaiki bot dari Ibu Negeri. Kita perlu memanfaatkan perkara ini,” katanya.
Beliau turut berkata, Pejabat Parlimen turut bercadang untuk membina Klinik Kesihatan di pulau itu.
“Apa yang penting penduduk di sini terus mengekalkan perpaduan, keselamatan dan kebersihan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JKM