HomeUtamaAidilfitri ruang erat silaturrahim, kukuhkan perpaduan - Tun Juhar

Aidilfitri ruang erat silaturrahim, kukuhkan perpaduan – Tun Juhar

Read Time:1 Minute, 50 Second

Kota Kinabalu:  Rakyat di negeri ini perlu terus berusaha untuk mencipta lebih banyak ruang perpaduan serta menamatkan perpecahan khususnya melibatkan sikap ketaksuban melampau dari sudut agama mahupun suku kaum.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan satu ruang kepada rakyat di negeri ini untuk mengeratkan silaturrahim serta mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, pembangunan sesebuah negara tidak akan bermakna, andai sikap persefahaman, keharmonian, bertolak ansur dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum diketepikan.

“Sikap cakna terhadap perpaduan perlu terus dipupuk dan dipelihara agar semua perancangan untuk pembangunan dan pelaksanaan dasar terhadap keseimbangan sosial dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Alangkah ruginya bila mana puluhan dekad yang telah kita lalui hidup bersama dalam keadaan aman, namun dalam sekelip mata ianya punah dan musnah disebabkan oleh perilaku dan kata-kata berbaur provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan rakyat.

“Perlakuan saling bermaafan, tradisi ziarah menziarahi dan menyantuni sahabat mahupun keluarga yang kurang bernasib baik sangat wajar serta memenuhi tuntutan agama,” katanya.

Tun Juhar berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1445H di sini.

Justeru beliau berkata, momen indah Aidilfitri ini sewajarnya menyinari cahaya murni umat Islam dalam meraikan perbezaan budaya dengan membuka pintu rumah menyambut kunjungan rakan serta jiran tetangga yang berlainan agama. 

“Ini bertepatan dengan maksud Islam iaitu suatu agama ciptaan Allah Subhanahu wa ta’ala (SWT) yang lengkap lagi sempurna, meliputi segala peraturan, undang-undang yang menganjurkan kesejahteraan, keamanan, keharmonian dalam penyusunan kehidupan manusia baik secara fardi (perseorangan), kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan,” katanya.

Selain itu, Tun Juhar menyeru rakyat agar terus mengekalkan toleransi antara kaum dan menolak keganasan serta ketaksuban yang akan memusnahkan keharmonian.

“Sedarlah bahawa negeri ini harus kita pertahankan serta selamat daripada perilaku keganasan, ketaksuban dan perbuatan meniupkan api kebencian terhadap sesuatu kaum mahupun agama.

“Di dalam Surah Al- Hujurat ayat 10-13, Allah SWT menekankan perlunya bersifat toleransi sesama umat Islam dan sentiasa berusaha mewujudkan perdamaian.

“Ayat tersebut juga turut menjelaskan bahawa perbezaan suku dan bangsa yang diciptakan Allah SWT bermatlamatkan untuk kita saling mengenal bukannya menimbulkan pertikaian,”katanya.

Mengakhiri perutusannya, Tun Juhar dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni serta seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1445H, Maaf zahir dan batin.

RELATED ARTICLES
Utama

11 rumah musnah di Membakut dibina semula dibawah inisiatif RIM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular