Kota Kinabalu: Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 akan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada Khamis ini.
Setiausaha DUN Sabah, Rafidah Maqbool Rahman berkata, Mesyuarat Pertama Penggal kelima DUN Sabah ke-16 pula akan bermula pada 22 hingga 25 April ini.
“Setakat ini, segala persiapan dari aspek logistik dan sambutan untuk Istiadat Pembukaan DUN Sabah ke-16 berjalan secara teratur dengan lancar. Hari ini kita telah selesai melaksanakan raptai penuh yang melibatkan raptai bagi Pemeriksaan Barisan Kehormat daripada Batalion 16, Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dengan kekuatan anggota seramai 102 orang.
“Turut menyertai raptai pada pagi ini adalah 55 anggota daripada Cawangan Pancaragam PDRM Kontinjen Sabah. Secara keseluruhan, setakat apa yang berlangsung pada raptai penuh pagi ini sebanyak 90 peratus persiapan telah berjalan dengan lancar dan kita berharap bakinya akan dipenuhi selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi raptai penuh Istiadat Pembukaan DUN Sabah ke-16 di Bangunan DUN Sabah di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Al Hambra Tun Juhar dan Datuk Richard Yong Ke Wong.
Rafidah berkata, pihaknya turut meramalkan cuaca Khamis ini boleh mencah sehingga 40 darjah celcius.
“Jadi kita mengharapkan kepada semua petugas agar dapat bersedia dan menjaga kesihatan masing-masing serta minum air secukupnya bagi mengelakkan dari serangan strok haba,” katanya.