HomeUtamaKerajaan Negeri sokong penuh pindaan Ordinan Buruh Sabah

Kerajaan Negeri sokong penuh pindaan Ordinan Buruh Sabah

Read Time:3 Minute, 42 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri menyokong penuh pindaan terhadap Ordinan Buruh Sabah (OBS) bagi memastikan rakyat dan masyarakat industri di Sabah dapat menikmati faedah dan peluang ekonomi yang lebih baik dan setara seperti negeri-negeri lain di Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, OBS telah dikuatkuasa bermula pada tahun 1950 lagi dan selepas 40 tahun, pindaan kali pertama kepada ordinan itu telah dibuat pada tahun 2005.

Katanya, tempoh 19 tahun adalah satu tempoh yang lama dan sesuatu undang-undang itu perlu dikaji semula untuk ditambah baik terutamanya undang-undang yang melibatkan kebajikan pekerja dan keperluan majikan untuk menjalankan perniagaan.

“Sudah pasti undang-undang yang lebih terkini dan tidak ketinggalan, akan dapat menarik lebih banyak syarikat-syarikat luar untuk datang melabur dengan lebih yakin dan selesa ke negeri Sabah.

“Pindaan ini juga adalah tepat pada masanya kerana Kerajaan Negeri amat memerlukan satu perundangan perburuhan yang relevan dan sesuai dengan situasi perburuhan semasa,” katanya pada majlis sambutan Tripartite Hari Pekerja Peringkat Negeri Sabah 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Hajiji berkata, industri memerlukan undang-undang yang bukan sahaja menjaga kebajikan pekerja dan kemudahan menjalankan perniagaan oleh majikan, tetapi juga dapat mengadaptasi keperluan revolusi perindustrian terkini yang melibatkan teknologi automasi seperti “Internet of Things”, “Big Data”, “Artificial Intelligence” dan “Cloud Computing”.

Katanya, transformasi digital ini telah mewujudkan jenis pekerjaan yang baru seperti Gig Worker yang memerlukan satu perundangan yang membolehkan industri dapat bergerak seiring dengan perubahan tersebut.

Menurutnya, cadangan pindaan pada kali ini akan memberi faedah secara menyeluruh, adil dan saksama kepada setiap pekerja dan majikan, malah ianya adalah setara dengan perundangan yang ada di Semenanjung Malaysia.

Tambahnya lagi, antara intipati penting pindaan kepada OBS kali ini adalah pertama; liputan diperluaskan kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan; kedua, tempoh cuti bersalin telah dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari; ketiga, para bapa juga diberi cuti paterniti selama tujuh hari dan ianya layak kepada semua isteri yang sah tetapi untuk lima  anak pertama sahaja; dan waktu kerja minggu dikurangkan daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu.

“Pindaan pada kali ini melibatkan 12 pindaan utama kepada 62 fasal melibatkan 75 peratus keseluruhan OBS. Justeru, saya dan barisan kepimpinan negeri, meletakkan harapan yang tinggi kepada Kementerian Sumber Manusia agar cadangan Rang Undang-Undang Pindaan OBS pada kali ini dapat dibentangkan pada sesi sidang Parlimen yang akan datang, agar ianya dapat dilaksanakan dengan kadar segera untuk dinikmati faedahnya oleh warga pekerja dan majikan di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji yakin, pindaan OBS akan dapat menaikkan imej negeri Sabah di peringkat antarabangsa terutamanya berkaitan dengan isu-isu “human rights” dan “labour rights”, isu penghapusan diskriminasi dan juga isu membasmi buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

Katanya, pindaan itu juga akan memudahkan Malaysia khususnya negeri Sabah untuk meneroka dan menembusi pasaran yang lebih besar melalui perjanjian “Comprehensive and Progresive Agreement for Trans-Pacific Partnership” (CPTPP) melibatkan 11 negara ahli yang hasilnya akan menarik lebih banyak pelabur datang, seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih luas kepada rakyat Sabah.

Beliau berkata, bagi memastikan kebajikan pekerja dan majikan sentiasa diutamakan, Kerajaan Negeri menyokong penuh penubuhan Majlis Penasihat Buruh peringkat negeri Sabah.

Menurutnya, Majlis Penasihat Buruh Sabah terdiri daripada 16 wakil kesatuan sekerja dan 16 wakil persatuan majikan terbesar mewakili seluruh pekerja dan majikan yang ada di negeri Sabah. Manakala pihak kerajaan pula terdiri daripada 16 jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, yang berperanan dan bertanggung jawab kepada isu-isu perburuhan negeri.

“Kerajaan Negeri meletakkan harapan yang tinggi agar melalui majlis ini setiap keputusan dasar dan perundangan yang dibuat oleh Kerajaan, akan mengambil kira sepenuhnya, situasi sebenar yang berlaku di negeri Sabah.

“Majlis ini juga akan menjadi platform untuk menyalurkan pandangan dan nasihat serta cadangan berkaitan perkara-perkara perburuhan kepada kerajaan. Ini juga bagi memastikan dasar-dasar dan perundangan yang lebih sesuai dengan perindustrian negeri Sabah dapat diterjemahkan dengan lebih tepat dan saksama,” katanya.

Hajiji juga mahu setiap perancangan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) termasuk latihan kemahiran kepada pekerja dan pencari kerja, dibawa  untuk dilaksanakan di Sabah, sekaligus memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

“Saya berharap agar kesemua inisiatif dan program pembangunan modal insan yang dilaksanakan KESUMA turut memberi keutamaan dan tumpuan kepada pekerja, majikan serta rakyat di negeri Sabah.

“Ini bagi memastikan Sabah juga setaraf dengan pencapaian negeri-negeri lain. Selain itu, semua program itu juga selari dengan hasrat dan aspirasi kerajaan negeri Sabah, melalui inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sektor pelancongan Sabah berkembang 3.0 peratus pada 2023 – DOSM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular