Bangi: Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah terlibat dalam menjayakan Seminar Pergerakan Kesatuan Sekerja Di Malaysia yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) Bangi baru-baru ini.
Bertemakan ‘Pekerja KESUMA Bangsa’, seminar tersebut turut dijayakan bersama oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS), Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), dan Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM).
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dr. Mahadirin Ahmad berkata, seminar itu adalah penting untuk mengupas hala tuju pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia.
“Objektif seminar ini adalah selari dengan agenda pemerkasaan pekerja seiring dengan kerangka Malaysia Madani dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), serta turut bertepatan dengan tema sambutan Hari Pekerja iaitu Pekerja Kesuma Bangsa.
“Seminar ini juga menyaksikan acara penyerahan Resolusi 100 Tahun Kesatuan Sekerja Di Malaysia: Dulu dan Masa Depan,” katanya.
Beliau menambah, seminar itu juga telah menarik penglibatan daripada pelbagai kategori peserta baik kesatuan sekerja, majikan, ahli akademik, mahupun mahasiswa sebagai usaha kepada kelestarian ilmu dalam bidang pemerkasaan pekerja.
Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dalam satu kenyataan menyokong penganjuran seminar tersebut yang dilihat penting bagi meneliti pencapaian dan kepentingan kesatuan sekerja di Malaysia pada ketika ini.
“Ini juga seiring dengan misi strategik 3K KESUMA iaitu Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan pekerja.
“Di samping itu, seminar ini adalah diharapkan mampu mengumpul dan menyatukan pandangan daripada pelbagai perspektif khususnya daripada kesatuan-kesatuan sekerja kerana para pekerja merupakan aktor penting dalam hubungan pekerjaan di negara ini,” katanya.
Sim turut memaklumkan hasil seminar tersebut tiga resolusi berjaya dicapai iaitu solidariti dan tindakan kolektif kesatuan sekerja yang lebih baik; para pekerja dan kesatuan sekerja bekerja dengan lebih giat; serta para pekerja dan kesatuan memperbanyakkan bacaan, meningkatkan ilmu dan berfikiran lebih kritis.
“Ketiga-tiga resolusi ini secara tidak langsung mencerminkan keutamaan bersama bagi kesatuan-kesatuan sekerja di negara ini dalam memperjuangkan kepentingan dan hak-hak pekerja.
“Justeru itu, KESUMA akan sentiasa memberikan sokongan dan menghormati sumbangan para pekerja dan kesatuan sekerja di Malaysia,” ujar beliau.
Seramai hampir 200 peserta pelbagai kategori seperti sektor awam, swasta dan badan berkanun hadir menyertai seminar yang berlangsung di Dewan Tan Sri Lee Lam Thye, Menara NIOSH itu.
Antara ahli akademik dan penyelidik FSSK UMS yang terlibat dalam seminar tersebut Dr Kee Y Sabariah Kee Mohd Yussof, Dr Norhuda Salleh, Bazley Bee Basrah Bee dan pelajar sarjana FSSK UM, Nassiah Gaong.
Turut sama menjayakan seminar tersebut pensyarah dari FSSK UKM, Dr Sharifah Nursyahidah Syed Annuar, dan penyelidik dari kesatuan sekerja, Engrit Liaw. – SABAH MEDIA / FOTO UMS