HomeUtamaIsu MA63: Kerajaan Sabah Kekal Konsisten Tuntut Hak - Nizam

Isu MA63: Kerajaan Sabah Kekal Konsisten Tuntut Hak – Nizam

Read Time:2 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dengan tegas tidak akan melepaskan atau berkompromi hal-hal berkaitan hak-hak Sabah.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor telah menjelaskan pendirian Kerajaan Sabah berkenaan isu rayuan semakan kehakiman SLS terhadap tuntutan 40 peratus hasil bersih di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, Kerajaan Sabah dengan tegas tidak akan melepaskan atau berkompromi hal-hal berkaitan hak-hak Sabah.

“Hak-hak asas Sabah telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Perdana Menteri menerusi ucapan Belanjawan 2023 telah menjamin Kerajaan Persekutuan komited untuk meningkatkan kadar pemberian khas berbanding apa yang dipersetujui sebelum ini, dan akan mempercepatkan proses rundingan untuk mencari jalan penyelesaian,” tegasnya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, isu tuntutan 40 peratus telah dibincangkan dan sedang diperhalusi dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Dato’ Seri Haji Fadillah Yusof.

“Melalui rundingan ini, Kerajaan Sabah terus mempertahankan hak-hak Perlembagaan berkaitan formula perkongsian hasil yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan, termasuklah tuntutan dalam tempoh tahun-tahun yang dipersiakan (lost years) iaitu sejak tahun 1974 sehingga kini,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan juga, setakat ini, terdapat penyelesaian interim – tanpa prejudis – yang menyaksikan Sabah menerima amaun pemberian khas yang lebih banyak daripada sebelum ini, sementara menunggu rundingan lanjut di antara kedua-dua pihak.

“Sementara menunggu rundingan yang sedang dijalankan, jumlah penyelesaian interim untuk pemberian khas meningkat daripada RM125.6 juta pada 2022 kepada RM260 juta yang diumumkan pada Januari 2023, kepada RM300 juta pada Julai 2023.

“Walaupun penyelesaian interim ini kurang daripada apa yang dijangkakan, Kerajaan Sabah terus komited dan konsisten dalam menuntut untuk mendapatkan nilai pemberian khas lebih tinggi berbanding amaun yang telah diberikan buat masa ini,” ujarnya.

Nizam juga mengulas berkaitan dakwaan sesetengah pihak termasuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang mendakwa Kerajaan Sabah gagal mempertahankan kepentingan negeri hanya kerana tindakan celahan wakil daripada Jabatan Peguam Negeri.

Nizam berkata, ia tidak membawa apa-apa kesan terhadap pendirian dan komitmen Sabah berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih dari Persekutuan.

“Pendirian Kerajaan Sabah terhadap semakan kehakiman itu tidak mengendurkan atau mengubah komitmen menuntut hak Sabah sesuai dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan seperti yang telah ditegaskan oleh kenyataan Ketua Menteri Sabah pada Jumaat menghormati hak Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) untuk memulakan prosiding mahkamah mengenai tuntutan 40 peratus tersebut.

“Kerajaan mengakui peranan penting litigasi kepentingan awam dalam mempertabatkan kedaulatan undang-undang ke arah pentadbiran yang adil dan saksama.

“Sekiranya berlaku sebarang fakta atau hujahan semasa prosiding di Mahkamah yang bercanggah dengan pendirian Kerajaan , Ketua Menteri telah mengarahkan Peguam Besar Negeri Sabah untuk meneliti dan menyemak.

“Seandainya ada fakta yang perlu diperbetulkan, ia akan dilakukan bagi memberi gambaran jelas akan pendirian dan kedudukan rasmi Kerajaan Sabah,” jelas beliau lagi.

Beliau turut menyangkal pihak yang mendakwa Kerajaan Sabah yang diterajui Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal menjaga kepentingan negeri kerana celahan terhadap satu prosiding di Mahkamah adalah dakwaan dangkal dan tidak berasas.

RELATED ARTICLES
Utama

ESSCOM lancar OGL Khas, lumpuhkan kegiatan JRS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular