HomeIsu tempatanMaritim Malaysia tahan bot kargo gagal kemuka permit

Maritim Malaysia tahan bot kargo gagal kemuka permit

Read Time:1 Minute, 31 Second

Tawau : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot kargo tempatan kerana gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa pada jam 3.40 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya telah berjaya memintas bot kargo tersebut yang bergerak dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Pulau Sebatik.

“Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan di kedudukan 0.6 batu nautika selatan Pelabuhan Tawau itu mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun bertindak selaku juragan bot mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Walau bagaimanapun, pemeriksaan dokumentasi seterusnya mendapati juragan yang membawa muatan 500 kilogram beras tempatan, 500 kilogram beras siam, 48 kilogram gula pasir berpaket dan empat gelen minyak petrol anggaran 120 liter itu gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahrizan berkata, bot kargo bersama juragan tersebut seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Padi dan Beras-Akta 522. 

Katanya, nilai rampasan termasuk muatan, bot tersebut dianggarkan sekitar RM55,000.

Menurutnya lagi, pihaknya juga akan menjalankan siasatan terhadap cubaan menyeludup ke negara jiran berikutan kuantiti muatan yang dibawa adalah kuantiti dagangan.

“Pelaksanaan penguatkuasaan secara konsisten ini juga dijadikan medium kesedaran dan pendidikan kepada komuniti maritim agar lebih peka dengan kesalahan yang dilakukan dan tidak berulang lagi.

“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.

Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat salah laku jenayah di sekitar perairan Tawau boleh menghubungi talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian MERS 999. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Orang ramai dipelawa hadir meriahkan program ‘Sabah Kekal Bersih’ esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular