HomeUtamaIsu Palauh akan dibangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri

Isu Palauh akan dibangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri

Read Time:1 Minute, 32 Second

Kota Kinabalu: Isu penempatan komuniti Palauh yang dirobohkan di Taman Marin Tun Sakaran (TMTS) di Semporna akan dibangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri yang akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan sangat prihatin dengan perkara yang membabitkan isu berkenaan.

“Bukan kami tidak bersimpati, mereka juga manusia, tetapi tempat yang mereka bina struktur rumah itu adalah dalam kawasan Taman Marin.

“Pasukan keselamatan sudah menyuarakan kebimbangan mereka dan menasihatkan ia adalah kawasan keselamatan yang sensitif  dan boleh digunakan sebagai transit untuk jenayah rentas sempadan. Kami akan membincangkan cara terbaik termasuk penempatan semula komuniti Palauh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) di Wisma Tun Fuad Stephens di sini hari ini.

Hadir sama , Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya.

Terdahulu, Hajiji yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri diberi taklimat oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew dan Setiausaha Tetap Kementerian Josie Lai mengenai kejadian kebakaran semasa operasi perobohan  rumah  pada minggu lalu.

Taklimat itu menjelaskan, hanya sebuah rumah yang terbakar semasa operasi berkenaan dan ia bukanlah dilakukan oleh pegawai penguat kuasa.

Dalam pada itu, mengenai Sabah My Second Home (SM2H), Hajiji akan memaklumkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bahawa Sabah akan meneruskan program itu.

“Kabinet negeri sudah meluluskan program ini untuk dilaksanakan dan kita akan teruskan,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengumumkan sebuah Muzium Negeri yang baharu akan dibina di kawasan bandar raya berikutan pengesahan daripada kabinet negeri.

Beliau berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong ditugaskan untuk mempengerusikan jawatankuasa untuk mencari tapak sesuai dengan terperinci.

“Muzium Negeri sekarang hanya boleh mempamerkan kira-kira 10 peratus daripada artifaknya manakala selebihnya dalam simpanan,” katanya.

Hajiji turut mengalu-alukan rancangan KePKAS untuk membina Pusat Kebudayaan Kinarut bagi mempamerkan lebih 30 kepelbagaian budaya dan tradisi Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

156 pelajar layak terima WPP, persediaan awal ke IPT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular