HomeUtamaKPDN Sandakan tahan lori diubahsuai, cuba seleweng minyak diesel

KPDN Sandakan tahan lori diubahsuai, cuba seleweng minyak diesel

Read Time:2 Minute, 13 Second

Sandakan : Sebuah lori yang diubahsuai berkapasiti tiga tan berjaya ditahan sepasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan di sini semalam selepas dipercayai digunakan untuk aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi.

Dalam operasi yang dijalankan di Jalan Utara, Sandakan kira-kira jam 4.30 petang itu bagaimanapun mendapati pemandu lori berkenaan telah melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa KPDN.

Ketua Cawangan Pejabat KPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata, hasil pemeriksaan mendapati, lori itu telah membawa barang kawalan iaitu minyak diesel dengan anggaran sebanyak 1,000 liter yang diisi dalam salah sebuah daripada tiga buah tangki IBC yang terdapat di dalam ruang kargo lori berkenaan.

“Pemeriksaan selanjutnya mendapati terdapat pengubahsuaian pada struktur bahagian tangki minyak lori terbabit yang dipercayai digunakan untuk membuat pengisian bahan api jenis diesel yang dibeli daripada stesen-stesen minyak yang dilawati. 

“Pengubahsuaian ini adalah disyaki untuk tujuan penyelewengan dan menjualnya semula demi untuk mengaut keuntungan.

“Anggota serbuan telah bertindak menyita lori berkenaan bersama-sama bahan api disyaki diesel yang terkandung di dalam sebuah tangki IBC yang berada di dalam ruang kargo lori kotak terbabit mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azdy berkata, bahan api yang disita itu dianggarkan bernilai RM2,150 dan anggaran jumlah keseluruhan nilai sitaan meliputi kenderaan, peralatan seperti pam, hos dan tangki IBC adalah sebanyak RM48,450.

Katanya, tindakan kes ini adalah hasil risikan di bawah Ops Tiris 3.0 yang telah dilakukan oleh pihak KPDN Sandakan sebelum operasi dilaksanakan. 

Menurutnya,  hasil maklumat awal yang diperolehi, modus operandi sindiket ini ialah menggunakan lori yang diubahsuai dengan tangki tambahan dan mengisi minyak diesel di beberapa buah stesen minyak sebelum minyak diesel tersebut dikumpulkan untuk diedarkan serta dijual di pasaran gelap.

“Kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan siasatan akan memfokuskan untuk mengenal pasti individu atau syarikat terlibat serta rantaian pengedaran bekalan minyak diesel subsidi termasuk sumber bekalan minyak diesel subsidi ini diperolehi dan diedarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Azdy berkata, KPDN Sandakan memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat perniagaan yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. 

Katanya, para pengusaha stesen minyak juga adalah diingatkan agar tidak menjual minyak petrol RON 95 dan diesel bersubsidi kepada pembeli yang tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada KPDN.  

“Siasatan dan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) akan diambil ke atas mana-mana pengusaha stesen minyak yang didapati terlibat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat kepada pihak Kementerian melalui saluran-saluran yang disediakan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN Sandakan

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular