HomeIsu tempatanMaritim Malaysia tahan dua bot nelayan tangkap ikan di kawasan larangan

Maritim Malaysia tahan dua bot nelayan tangkap ikan di kawasan larangan

Read Time:1 Minute, 28 Second

Lahad Datu : Dua buah bot nelayan tempatan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang dari 1.5 batu nautika dari daratan berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu kira-kira jam 10.24 pagi dan 10.40 pagi di sini baru-baru ini.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Leftenan Maritim Mohd Firdos Ayob berkata, pihaknya dalam satu operasi berjaya mengesan dua buah bot nelayan sedang menjalankan aktiviti menarik pukat berhampiran kawasan daratan kira- kira 1.1 dan 1.2 batu nautika Timur Perlabuhan Kunak.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas bot terbabit telah mendapati lima lelaki terdiri daripada empat orang warganegara Malaysia dan seorang warganegara Filipina berumur antara 22 hingga 51 tahun berada di atas bot tersebut.

Tambahnya, mereka didapati melanggar syarat sah lesen dengan menarik pukat pada jarak 1.1 dan 1.2 batu nautika dari daratan.

“Kesemua kru, bot serta muatan hasil laut ditahan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Lahad Datu untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

“Bot nelayan, pukat dan muatan hasil laut telah disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM180,000,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mohd Firdos berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan ke atas kes-kes yang melibatkan nelayan tempatan yang melanggar syarat sah lesen dengan mengambil kesempatan menarik pukat berhampiran daratan.

Ini kerana katanya, aktiviti menarik pukat pada jarak yang berhampiran pantai boleh merosakkan ekosistem laut dan mengganggu aktiviti perikanan nelayan-nelayan tradisional di kawasan pantai.

“Orang ramai turut diminta membantu pihak Maritim Malaysia dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu di talian 089-885727 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Aura Ustaz Abdul Somad tarik perhatian 10,000 umat Islam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular