HomeUtamaNADMA lulus peruntukan bantuan, pengurusan operasi bencana MTL di Sabah

NADMA lulus peruntukan bantuan, pengurusan operasi bencana MTL di Sabah

Read Time:1 Minute, 41 Second

Kota Kinabalu : Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) meluluskan peruntukan berjumlah RM14 juta bagi tujuan bantuan bencana dan pengurusan pengoperasian bencana di luar musim Monsun Timur Laut (MTL) di negeri Sabah. 

NADMA dalam satu kenyataan berkata, jumlah itu termasuklah pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan dengan banjir.

Selain itu, jumlah itu turut meliputi  sumbangan Bantuan Wang Ihsan Kematian (BWI Kematian) sebanyak RM10,000 diberikan kepada waris mangsa yang meninggal dunia akibat bencana banjir.

“NADMA telah meluluskan permohonan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah bagi menggunakan baki peruntukan MTL 2023/2024 Negeri Sabah berjumlah RM14 juta untuk pemberian bantuan bencana dan pengurusan pengoperasian bencana di luar musim MTL di negeri Sabah. 

“NADMA turut menasihati orang ramai agar berwaspada dengan keadaan cuaca semasa dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, peka dengan pengumuman melalui media massa dan menunggu arahan sekiranya diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Terdahulu, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) NADMA beroperasi 24 jam setiap hari susulan kejadian banjir yang berlaku di beberapa buah daerah di Sabah.

NDCC ini akan sentiasa memantau dan menyediakan laporan terkini situasi bencana di Sabah.

Amaran bencana seperti amaran hujan berterusan dan amaran banjir akan disampaikan kepada semua agensi tindak balas berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. 

Ini termasuklah kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertindak sebagai sekretariat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Dalam pada itu, NADMA berkata kesiapsiagaan menghadapi bencana seperti banjir di daerah tersebut dikoordinasi oleh JPBD seperti pengaktifan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), penyediaan dan keperluan bilik gerakan dan stor simpanan. 

JPBD juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memastikan keperluan mangsa di pusat penempatan diperolehi sewajarnya. 

“Buat masa ini keadaan di Sabah adalah terkawal dan koordinasi di antara agensi yang diselaraskan oleh Pegawai Daerah dan Setiausaha Kerajaan Negeri berjalan dengan amat baik,” tambah kenyataan itu  lagi. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

400 pelajar sertai Program Smart Jawab SPM 2024

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular