HomeUtamaDakwaan penjualan dadah di Sabah seperti 'pisang goreng' adalah keterlaluan - Jauteh

Dakwaan penjualan dadah di Sabah seperti ‘pisang goreng’ adalah keterlaluan – Jauteh

Read Time:2 Minute, 18 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Dakwaan mengenai penjualan dadah di Sabah seperti ‘pisang goreng’ adalah satu kenyataan yang keterlaluan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah ,Datuk Jauteh Dikun.

Beliau menegaskan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah sangat serius dalam memerangi pelbagai isu jenayah di Sabah termasuklah isu penyalahgunaan dadah.

Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendakwa penjualan dadah khususnya jenis syabu kini seperti ‘pisang goreng’ dan semakin membimbangkan di Sabah.

Bung berkata, dadah semakin mudah didapati dengan harga yang murah dan mendesak pihak berkuasa seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan pegawai pencegah dari pihak polis untuk membanteras kegiatan jenayah dadah di negeri itu.

Menyangkal akan dakwaan itu, Jauteh tampil menjelaskan dengan memberikan laporan berkaitan prestasi Jabatan Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik (JBSJN) Sabah tempoh 6 bulan pertama tahun 2024.

“Dalam tempoh Januari hingga 8 Julai 2024, kita dapati bahawa 8,993 pesalah narkotik telah ditangkap dimana 8,993 pesalah ini 88 peratus telah dibuat pertuduhan di mahkamah dan daripada 8,993 ini merupakan hasil tangkapan daripada operasi dibuat secara berterusan oleh JBSJN dan juga bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh Sabah.

“Jadi daripada jumlah tangkapan ini sehingga kini kita telah melakukan rampasan sebanyak 85 kilogram (kg) dadah iaitu kalau ikut pecahan syabu merupakan penyumbang utama kepada rampasan ini iaitu lebih kurang 71kg.

“Pada tahun ini juga kita telah berjaya membuat tangkapan spesis baru saya anggap dalam syabu iaitu syabu cair yang mana kita telah membuat tangkapan sebanyak 1.4kg,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, daripada jumlah keseluruhan tangkapan mengikut pecahan yang memiliki dadah jumlah tangkapan 2,588 orang manakala positif dadah 5,766 orang.

“Daripada jumlah ini juga seramai 20 orang telah kita buat pertuduhan atau ambil tindakan di bawah langkah-langkah pencegahan khas disamping itu juga seramai 367 orang telah kita tuduh dibawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang mana ini merupakan satu seksyen yang menghukum atau memperuntukkan hukuman kepada pesalah-pesalah dadah secara berulang lebih dari tiga kali.

“Jadi ini bererti bahawa komitmen ketegasan pihak PDRM Sabah dalam memerangi isu dadah di Sabah ini adalah amat serius

“Sebab kalau kita bandingkan jumlah tangkapan tahun ini banding tahun lepas, tahun ini lebih ramai lebih banyak tangkapan berbanding tahun sebelumnya.

“Jadi kalau ada berita mengatakan bahawa dadah ini dijual seperti pisang goreng di Sabah itu merupakan satu statement (kenyataan) yang keterlaluan,” tegasnya.

Beliau berkata, pihak polis sentiasa berusaha memaksimumkan tindakan ke atas pihak yang terlibat berkaitan dadah.

“Kita sentiasa berusaha untuk memaksimumkan tindakan ke atas mana-mana pihak yang terlibat dalam isu berkaitan dengan dadah.

“Jadi ertinya kita tidak berhenti tanggani isu ini dan juga kita akan terus tanggani isu berkaitan dengan isu dadah di Sabah,” tegas beliau lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

Golongan wanita digesa ceburkan diri dalam bidang perniagaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular