HomeUtamaDUN Sabah : Nyatakan status terkini cadangan pemindahan KKIA

DUN Sabah : Nyatakan status terkini cadangan pemindahan KKIA

Read Time:1 Minute, 44 Second

Kota Kinabalu: Kabinet Negeri diminta untuk menyatakan status terkini cadangan pemindahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke lokasi baharu di Kimanis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, pada masa lalu Kabinet Negeri telah bersetuju cadangan untuk memindahkan KKIA ke Kimanis dan satu Kajian Kebolehlaksanaan (feasibility study) telah dilakukan.

“Laporan Kajian Kebolehlaksanaan tersebut telah dibuat oleh perunding (consultant) dan dibentang tetapi kabinet negeri belum membuat keputusan. Jadi saya minta kabinet negeri menyatakan apakah statusnya. Jadi dipindah atau cuma bertahan di KKIA.

“Walaupun Kementerian Pengangkutan melalui Menterinya Anthony Loke telah mengemukakan untuk menaiktaraf KKIA, kita kena melihat jangka panjang bahawa naiktaraf KKIA ini tidak menyelesaikan masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, keluasan KKIA 900 ekar dengan hanya ada satu landasan tidak dapat menampung keperluan semasa dengan faktor KKIA masa depan perlu ada dua landasan.

“Lihat Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta Jakarta ada tiga landasan, begitu juga Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dan Lapangan Terbang Changi Singapura.

“Keluasan lapangan terbang antarbangsa ini paling kurang 3,100 ekar. Sebagai contoh Lapangan Terbang Changi Singapura 6,100 ekar, KLIA Sepang 5,000 ekar. Keluasan KKIA 900 ekar memang tidak cukup untuk memenuhi keperluan semasa terkini lapangan antarabangsa.

“KKIA merupakan lapangan terbang kedua tersibuk di negara ini. Kita ada potensi kerana lokasi dengan ada penerbangan terus dari Nusantara Indonesia dan China,” katanya.

Tambahnya,  KKIA juga tidak dapat menampung keperluan penumpang di bangunan itu sendiri seperti kaunter Jabatan Imigresen dan tempat mengambil beg bagasi.

Dr Yusof berkata, faktor lokasi jauh jika KKIA dpindahkan ke Kimanis bukan satu halangan disebabkan beberapa lapangan terbang di negara lain juga terletak jauh dari Pusat Bandar.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok terletak 31 kilometer dari pusat bandar Bangkok, Lapangan Terbang Antarabangsa Jakarta (40 km), KLIA (60km)..Kimanis terletak 47 KM dari Kota Kinabalu.

“Diharapkan Kerajaan mempertimbangkan semula dan ini pelaksanaannya perlu mengambil masa lima hingga tujuh tahun,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

21 remaja ditahan bantu siasatan kes gaduh di gelanggang futsal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular