HomeIsu tempatan91 pelajar sekolah menengah hadiri sidang DUN Sabah

91 pelajar sekolah menengah hadiri sidang DUN Sabah

Read Time:1 Minute, 27 Second

Kota Kinabalu :   Seramai 91 pelajar dari tiga buah sekolah menengah semalam diberi peluang hadir ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Antara sekolah terlibat adalah Sekolah Menengah (SM) Tshung Tsin Sabah, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Ken Hwa dan SM St Francis Xavier Keningau.

Guru pengiring SM Tshung Shin, Evelyn Jose, 50, berkata idea membawa 50 pelajar Tingkatan lima aliran sains sekolah berkenaan datang ke persidangan tersebut adalah bagi memberi pendedahan proses meluluskan rang undang-undang (RUU).

“Terdapat silibus dalam mata pelajaran sejarah Tingkatan 5 tentang sistem pentadbiran negara dan peranan DUN. Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan jadi memang mereka (pelajar) ada belajar proses meluluskan undang-undang di DUN dan sistem pilihanraya.

Pelajar tiga sekolah menengah yang hadir di Dewan Undangan Negeri

“Pelajar didedahkan dengan situasi sebenar berbanding dalam buku jadi, kami bawa mereka keluar supaya boleh nampak situasi hari ini. Macam tadi, saya tengok reaksi pelajar, masa masuk mereka tanya sebelah kanan siapa, kiri siapa, jadi kami sempat menerangkan di sebelah kanan pembangkang dan kiri kerajaan serta tujuannya,” katanya ketika ditemui di DUN semalam.

Evelyn juga memaklumkan lawatan sambil belajar itu juga bertujuan untuk menyemai perasaan cintakan negara dan pelajar dapat menyedari setiap individu mempunyai hak untuk bersuara melalui cara serta saluran yang betul.

“Lagipun tahun ini mereka berusia 17 tahun dan sudah boleh mengundi pada tahun hadapan apabila berumur 18, oleh itu mereka perlu tahu hak sebagai rakyat Malaysia.

“Saya berharap supaya para pelajar menjadi rakyat yang bertanggungjawab dan tahu apa yang mereka perlu lakukan untuk melaksanakan peranan kerana mereka adalah pemimpin pelapis masa depan,” katanya.

Selain SM Tshung Tsin, dua sekolah dari Keningau turut menghantar pelajar sebagai pemerhati ialah SMJK Ken Hwa (21 pelajar) dan SM St Francis Xavier (20 pelajar).

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Orang ramai dijemput hadir ke pameran khas karya seni Tuan Yang...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular