HomeIsu tempatanProgram pelancongan berasaskan komuniti usaha perkasa ekonomi penduduk

Program pelancongan berasaskan komuniti usaha perkasa ekonomi penduduk

Read Time:2 Minute, 0 Second

Kota Kinabalu : Penganjuran Program Pelancongan Berasaskan Komuniti di  Kg. Malubang, Pitas baru-baru ini mampu membantu dalam usaha meningkatkan ekonomi penduduk kampung melalui bidang pelancongan.

Program itu dilaksanakan kumpulan pelajar dan ahli akademik dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Pensyarah Kanan FPEP, Dr. Mohamad Isa Abd Jalil berkata, ini kerana Kg. Malubang, Pitas dikenal pasti mempunyai potensi besar dalam bidang pelancongan dan pemuliharaan sumber marin.

“Program ini bertujuan untuk memperkasakan komuniti Kg. Malubang dan Kampung Berungus yang terletak dalam zon kuning di Taman Laut Tun Mustapha atau dikenali sebagai Zon Penggunaan Komuniti (CUZ).

“Pemilihan kedua-dua kampung ini sebagai projek perintis adalah bertepatan kerana lokasinya dalam zon yang diwartakan ini memberikan peluang untuk membangunkan aktiviti pelancongan yang mampan selain memberi tumpuan utama terhadap pemuliharaan marin.

“Matlamat utamanya adalah untuk mencipta model yang boleh diguna pakai oleh kawasan perlindungan marin lain khususnya di negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan bersempena dengan program tersebut.

Menurut beliau, penglibatan FPEP amat penting dalam menjayakan program tersebut.

“Melalui kepakaran berkaitan pelancongan luar bandar yang terdapat di FPEP ini, sekali gus membolehkan sumbangan ilmu dan pengalaman untuk membangun dan memperkukuhkan ekonomi tempatan melalui penglibatan aktiviti penduduk.

“Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti tetapi juga memperlihatkan peranan penting institusi pendidikan dalam menyumbang pembangunan masyarakat,” katanya.

Isa turut memaklumkan program tersebut direka untuk mencapai beberapa objektif utama antaranya untuk menyumbang kepakaran FPEP dalam usaha mempertingkatkan ekonomi kawasan luar bandar, selain memperkasakan keupayaan komuniti dalam menjalankan aktiviti pelancongan.

“Program ini juga bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran tentang keperluan penjagaan alam sekitar, terutamanya kepada generasi muda serta sebagai satu usaha untuk membentuk jaringan kerjasama berterusan dengan pihak berkepentingan dalam pembangunan pelancongan di kawasan perlindungan.

“Projek ini dijangka dapat mempromosikan pelancongan yang bertanggungjawab dan lestari di samping memperkasakan komuniti tempatan untuk menjadi pemimpin dalam pemuliharaan dan pembangunan ekonomi yang mampan.

“Ini menunjukkan komitmen UMS, khususnya FPEP dalam membantu komuniti marginal melalui program pembinaan kapasiti,” katanya.

Program yang mendapat kerjasama daripada Taman-Taman Sabah itu juga katanya diharap dapat menjadi model bagi pelaksanaan program seumpama di komuniti lain di Taman Laut Tun Mustapha dan kawasan perlindungan marin.

“Ini dilihat dapat memperkukuhkan lagi usaha pemuliharaan dan pembangunan komuniti luar bandar di kawasan pesisir pantai selari dengan konsep pembangunan lestari,” katanya.

Program yang berlangsung selama empat hari itu mendapat penglibatan penyertaan komuniti tempatan yang terdiri daripada belia, wanita dan pelajar sekolah rendah. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Orang ramai dijemput hadir ke pameran khas karya seni Tuan Yang...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular