5 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyeru rakyat di negeri ini supaya memberikan komitmen penuh dengan mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin COVID-19.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, rakyat juga diminta untuk tidak mempercayai khabar angin atau berita yang tidak sahih berhubung pemberian vaksin yang dilaksanakan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Pertamanya saya minta dan menyeru kepada seluruh rakyat di negeri ini untuk segera mendaftar diri bagi mendapatkan vaksin, jangan takut untuk mendaftar.
“Saya juga minta agar rakyat tidak terlalu percaya kepada khabar-khabar angin menyebabkan ramai yang takut kerana menjadi mangsa berita palsu di luar sana,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Tadau Kaamatan Harmoni Om Aidilfitri (TKHOA) Online disini pagi tadi.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Mansur Asun
Masidi yang juga Jurucakap Rasmi Covid-19 Sabah berkata, pihaknya juga meminta agar rakyat di negeri ini untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan kini.
“Sehingga kelmarin, kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKP di Sabah adalah sekitar 96 peratus secara keseluruhan.
“Kita haruslah mematuhi SOP kerana itulah benteng paling ampuh untuk kita memastikan kita selamat daripada jangkitan virus Covid-19 dan sentiasalah jaga diri dan keluarga kita,”katanya.
Terdahulu, program yang diadakan secara hibrid itu turut melibatkan masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) dari seluruh pelusuk negeri Sabah dan negeri lain di Negara ini.