HomeUtamaPelajar harus rancang pengajian yang diambil sebelum sambung pendidikan - Masidi

Pelajar harus rancang pengajian yang diambil sebelum sambung pendidikan – Masidi

Read Time:2 Minute, 15 Second

RANAU : Pelajar seharusnya merancang berkenaan dengan bidang pengajian yang bakal mereka ikuti sebelum menyambung pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi kelak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata, perancangan ini bagi mengelakkan mereka terjebak ke dalam lingkungan “pelajar yang hanya menyambung pengajian dan berisiko untuk keluar sebagai graduan tanpa prospek pekerjaan yang baik.

Masidi berkata demikian dalam satu Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2023, Sekolah Menengah Agama Al-Irsyadiah Ranau baru-baru ini.

Ujar Masidi lagi, terlalu ramai graduan lepasan universiti dan kolej yang kini gagal untuk mendapatkan pekerjaan yang baik sungguhpun memiliki ijazah atau diploma disebabkan hanya memilih jurusan yang mudah namun tidak berdaya saing atau menjanjikan pendapatan yang lumayan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, sektor yang berdaya saing dan menjanjikan pendapatan yang lumayan di Sabah pada masa ini dan akan datang adalah sektor minyak dan gas, yang mana sektor ini sangat-sangat memerlukan prospek yang berlatarbelakangkan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

“Melalui Perjanjian Kolaborasi Komersil Antara Kerajaan Negeri Sabah Dan Petronas, sebanyak RM5 bilion telah diperuntukkan oleh Petronas khusus untuk kontrak-kontrak dalam sektor minyak dan gas, yang sepatutnya dimanfaatkan oleh pemain-pemain industri anak-anak Sabah.

“Malangnya, daripada jumlah tersebut, hanya 11 peratus daripada perolehan kontrak-kontrak adalah terdiri daripada syarikat-syarikat yang berasal daripada Sabah dan dimiliki oleh anak Jati Sabah.

“Untuk itu, bagi menghasilkan pemain industri yang unggul, pelajar-pelajar Irsyadiah yang berlatarbelakangkan agama seharusnya mengambil peluang dengan mengasimilasikan keagamaan dan juga merebut peluang berkenaan dengan memilih jurusan berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik sebagai pilihan pengajian kelak bagi memenuhi kehendak dalam sektor berkenaan,”katanya.

Kira-kira 250 orang yang terdiri daripada pelajar, ibu bapa dan guru dalam satu majlis yang gilang-gemilang hadir di Foyer SMA Al Irsyadiah.

Terdahulu, Sekolah Menengah Agama Al-Irsyadiah mencatatkan peningkatan akademik selama lima tahun berturut-turut dan berjaya dinobatkan sebagai sekolah terbaik di daerah Ranau dengan pencapaian cemerlang selama 2 tahun berturut-turut iaitu GPS 3.10 pada tahun 2022 dan GPS 2.48 pada tahun 2023.

Dalam majlis tersebut, Masidi menyampaikan Anugerah Wangsa Mutia kepada 3 pelajar yang memperoleh 11A dalam SPM iaitu Marsa Ulfa Baharuddin, Eqah Syamimi Ahinin @ Hajin dan Syahzwan Arash Khairudin @ Amiudin, serta Anugerah Pelajar Terbaik STAM 2023 (Kategori Peperiksaan Awam) kepada Siti Ain Syafiqah Munib yang memperoleh keputusan Jayyid.

Berikutan kecemerlangan sekolah tersebut, Masidi berkenan untuk meluluskan pembinaan sebuah Dewan Serbaguna SMA Al-Irsyadiah Ranau dengan peruntukan berjumlah RM200,000, Sistem Takungan & Saliran (Tangki) berjumlah RM27,700 dan Insentif Kecemerlangan Guru-Guru berjumlah RM10,000.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah ADUN Dilantik, Datuk Amisah Yassin, Pengerusi Pengelola Lembaga Pengurusan Sekolah, Datuk Faimin Kamin dan Pengetua SMA Al-Irsyadiah Ranau, Ustaz Esibi Lakui.

RELATED ARTICLES
Utama

Muzium Negara Terima Koleksi Set Tagung Kadazan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular