HomeIsu tempatanMaritim Malaysia Sabah bakal miliki bangunan ibu pejabat sendiri

Maritim Malaysia Sabah bakal miliki bangunan ibu pejabat sendiri

Read Time:1 Minute, 33 Second

Kota Kinabalu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah bakal memiliki bangunan ibu pejabat sendiri.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, bangunan tersebut akan dibina di Sepanggar dan kini dalam proses penyediaan dokumen dan kaji selidik tanah.

“Apabila proses ini selesai, sekitar tahun 2025 kita akan mulakan projek pembinaan bangunan tersebut dan diharapkan sekitar 2027 bagunan ini akan siap dibina dan boleh beroperasi sepenuhnya.

“Ketika ini, Ibu Pejabat APMM Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan beroperasi di Kawasan Perindustrian Kolombong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Juhar di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.

Saiful berkata, kunjungan tersebut bagi memaklumkan Tun Juhar berkenaan perkembangan terkini APMM, status terkini aset-aset dan bangunan serta perancangan masa hadapan APMM di perairan Sabah termasuk pembangunan sumber manusia, di samping perancangan penubuhan Stesen Unit Udara Maritim di Sandakan.

“Unit udara ini akan menempatkan empat buah helikopter APMM yang baharu iaitu Agusta Westland AW189 yang sekarang ini sedang dibina di Itali dan berkemungkinan akan mula diterima dari pembekal secara berperingkat bermula penghujung 2025. 

“Selain daripada itu, APMM juga dalam perancangan untuk membina Pos Hadapan di Pulau Sebatik yang akan menempatkan aset-aset bot laju bagi menangani isu-isu ancaman keselamatan dan penyeludupan di kawasan perairan Tawau.

“Setakat Julai tahun ini, sebanyak 19,180 operasi pemeriksaan fizikal (geledah),  37,353 pemeriksaan melalui visual, radio dan radar serta 370 tangkapan telah dilaksanakan oleh APMM sekitar perairan Sabah,” katanya.

Turut serta dalam kunjungan terbabit ialah Pengarah APMM Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik, Pengarah Kejuruteraan APMM Laksamana Maritim Hamizan Harun, Pengarah Pembangunan APMM Laksamana Zulinda Ramly, Pengarah Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Laksamana Maritim Mohd Zawawi Abdullah dan Timbalan Pengarah Pengurusan Maritim Sabah Siti Norhaini Osli.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Aura Ustaz Abdul Somad tarik perhatian 10,000 umat Islam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular