HomeUtamaRM150 juta Pakej Pembiayaan, Pembangunan Usahawan Ransang Ekonomi Sabah

RM150 juta Pakej Pembiayaan, Pembangunan Usahawan Ransang Ekonomi Sabah

Read Time:2 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU : Prestasi ekonomi Sabah yang terjejas akibat pandemik COVID-19 bakal diransang semula menerusi pakej pembiayaan serta program pembangunan usahawan bernilai RM150 juta.

Kerjasama di antara Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) dengan Sabah Development Bank Berhad (SDB) itu dimaterai menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU).

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, antara inisiatif yang terkandung dalam MoU berkenaan termasuk menyediakan pakej pembiayaan dengan jaminan SDB dan kemudahan pembiayaan club deal bagi projek berskala besar untuk usahawan PKS di Sabah khususnya, perkongsian sumber dan kerjasama melaksanakan program pembangunan usahawan serta mempromosikan kemudahan yang disediakan oleh kedua-dua pihak.

“Kerjasama ini merupakan salah satu usaha memulihkan kembali prestasi ekonomi negeri Sabah yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi di negeri Sabah di bawah Pelan Pemulihan Negara Fasa Kedua.

“Kerjasama ini juga membolehkan SME Bank dan SDB menawarkan pakej yang lengkap kepada usahawan-usahawan PKS di Sabah secara khususnya.

“Sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan yang memegang mandat memupuk dan membangunkan PKS negara, adalah penting untuk SME Bank meluaskan jaringan perkhidmatan agar tidak ada PKS yang ketinggalan dalam menerima bantuan.

“Anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) juga akan turut menawarkan program pembangunan keusahawanan dan keupayaan yang bersesuaian bagi memperkasakan lagi usahawan PKS di bawah ekosistem SDB.

“Antara sektor yang menjadi perhatian dalam kerjasama ini ialah perindustrian, pelancongan dan aktiviti pembuatan serta perdagangan sektor pertanian yang seiring dengan teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2021-2025,” ujarnya.

Menurut Aria, SME Bank melalui tiga buah cawangannya di Sabah iaitu Pusat Wilayah Sabah, Pusat Enterpris Kota Kinabalu dan Pusat Enterpris Tawau telah meluluskan lebih RM118 juta pembiayaan kepada 184 PKS pada tahun 2020.

Sehingga Julai 2021, dedah beliau, badan kewangan itu telah meluluskan pembiayaan bernilai RM88 juta kepada 150 PKS.

Beliau ditemui media pada Majlis Menandatangani MoU antara SME Bank dengan SDB diwakili Aria dan SDB telah diwakili Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Vincent Pung Yee Kiong di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, pada Isnin.

Turut berlangsung, sesi penyerahan Surat Niat (Letter of Intent) di antara SME Bank dengan MUIS yang diwakili Timbalan Yang di-Pertua MUIS, Malai Ali Malai Ahmad dan Aria.

Majlis tersebut disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Kewangan lI, Datuk Seri Masidi Manjun serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong.

Jelas beliau, kolaborasi antara SME Bank dengan MUIS pula berupaya melahirkan golongan usahawan asnaf di negeri ini menerusi Program Keusahawanan Asnaf ISHRAF 2.0 yang dijangka bermula Oktober ini.

“Melalui kerjasama terbabit, MUIS akan memilih 10 orang peserta daripada kalangan usahawan asnaf yang akan mengikuti latihan keusahawanan secara berstruktur dan dikendalikan perunding latihan keusahawanan secara dalam kelas dan sesi bimbingan berkala secara berterusan selama setahun.

“Ini bagi memastikan perkembangan perniagaan serta peningkatan tahap sosioekonomi para peserta, sekali gus mengeluarkan mereka daripada golongan yang menerima zakat kepada kelompok yang mengeluarkan zakat.

“ISHRAF merupakan program yang dirangka khusus untuk pembangunan usahawan asnaf dan mula diperkenalkan pada tahun 2020 (ISHRAF 1.0) dan kehadiran program ini tepat pada masanya memandangkan ramai usahawan Asnaf kategori mikro dan B40 telah terjejas teruk disebabkan pandemik COVID-19,” katanya.

Selain Sabah, Program ISHRAF 2.0 juga diperluas kepada usahawan asnaf terpilih di lima buah negeri lain iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Perlis.- PENERANGAN

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular