HomeIsu tempatanUMS tekad perkasa kualiti penyampaian perkhidmatan

UMS tekad perkasa kualiti penyampaian perkhidmatan

Read Time:1 Minute, 54 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertekad untuk memperkasakan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada semua pemegang taruh melalui penambahbaikan berterusan tatakelola perkhidmatan dan peraturan-peraturan sedia ada.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, usaha ini adalah sesuai dengan Key Result Area (KRA6): Empowerment of Governance, Human Resources and Delivery System seperti yang digariskan dalam Pelan Strategik UMS 2023-2027.

“UMS merupakan sebuah organisasi yang memberikan pelbagai perkhidmatan kepada pihak berkepentingan termasuk pelajar, kakitangan, dan orang awam.

“Kualiti perkhidmatan yang kita berikan mencerminkan komitmen, imej dan kecekapan kita terhadap kecemerlangan dan reputasi UMS secara keseluruhan. 

“Untuk mencapai tahap kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan, kita perlu memberi tumpuan kepada beberapa aspek penting seperti pembudayaan kualiti, program latihan yang komprehensif, kecekapan teknologi dan pengurusan sumber yang cekap,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Universiti (AKU) 2024 di Pusat Islam, UMS.

Menurut beliau, penambahbaikan kualiti penyampaian perkhidmatan bukanlah satu usaha jangka pendek, tetapi satu komitmen berterusan yang memerlukan kerjasama dan komitmen daripada setiap warga UMS.

“UMS juga menarik perhatian kepada penguasaan Kemahiran Abad ke-21 yang juga merupakan salah satu teras dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dan UMS telah pun memiliki Dasar Digital sendiri. 

“Saya berharap agar dasar ini berjaya membina ekosistem digital yang holistik dan inklusif, termasuk memastikan bahawa seluruh warga UMS, dari pelajar hingga staf, dilengkapi dengan kemahiran digital yang relevan dan dapat memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja.

“Transformasi digital bukan lagi sekadar pilihan, tetapi satu keperluan tanpa mengira bidang untuk meningkatkan produktiviti, efisiensi dan keberkesanan,” katanya.

Dalam pada itu, Kasim memaklumkan Majlis AKU merupakan manifestasi penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan dan dedikasi warga UMS yang telah mencurahkan khidmat bakti demi kecemerlangan universiti.

Kecemerlangan itu katanya telah dicapai melalui usaha secara individu dan kolektif dalam pelbagai bidang, sama ada dalam pengajaran, penyelidikan, penerbitan, inovasi, khidmat masyarakat mahupun pentadbiran.

Pada majlis tersebut, Kasim menyempurnakan penyampaian anugerah kepada 454 orang kakitangan dan pesara yang menerima anugerah dalam enam kategori.

Jumlah tersebut meliputi 35 orang pesara UMS yang menerima Anugerah Jasamu Dikenang, selain 166 kakitangan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 47 penerima Anugerah Sanjungan Budi, 71 penerima Anugerah Jasa Setia, 69 penerima Anugerah Jasa Bakti, dan 66 penerima Anugerah Inovasi yang terdiri daripada staf dan Pusat Tanggungjawab. –SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Orang ramai dijemput hadir ke pameran khas karya seni Tuan Yang...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular