HomeUtama25 tahun UiTM dirai serentak kampus cawangan negeri seluruh Malaysia

25 tahun UiTM dirai serentak kampus cawangan negeri seluruh Malaysia

Read Time:2 Minute, 16 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pertukaran nama Institut Teknologi MARA (ITM) kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 26 Ogos 1999 merupakan aspirasi buat UiTM dalam menjadi universiti terbaik dan bertaraf dunia.

Sehubungan dengan itu, lebih 350 alumni UiTM Sabah hadir memeriahkan Majlis Makan Malam Gala sempena 25 Tahun UiTM sebagai sebuah universiti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, malam tadi (28 Ogos).

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Kewangan Sabah merangkap Penaung Persatuan Alumni UiTM Sabah Datu Seri Masidi Manjun.

Majlis Makan Malam Gala itu dijalankan serentak dari setiap kampus cawangan negeri seluruh Malaysia.

Masidi dalam ucapannya berkata, majlis berkenaan bukan sahaja merupakan sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun UiTM sebagai sebuah universiti. Bahkan, ia merupakan sambutan kepada kejayaan dan perjalanan yang amat bermakna buat seluruh warga serta alumni UiTM.

“UiTM sudah mula bertapak di negeri Sabah sejak tahun 1973 pada masa itu ia dikenali sebagai Yayasan Sabah – Institut Teknologi MARA (YS-ITM).

“Pengambilan pertamanya hanya seramai 159 orang dan kini UiTM Cawangan Sabah mempunyai dua kampus (Kota Kinabalu dan Tawau) serta bilangan pelajar mencecah seramai 5000 orang pada satu – satu masa,” katanya.

Menurutnya, penubuhan kampus cawangan Sabah adalah berasaskan kepada keperluan untuk mewujudkan peluang-peluang pelajaran kepada masyarakat luar bandar dan menjalankan kursus-kursus bagi mengeluarkan tenaga profesional yang sejajar dengan kehendak dan keperluan ekonomi tempatan.

“Saya melihat UiTM komited mencapai aspirasi untuk menjadi sebuah universiti terkemuka dunia menjelang tahun 2025,” ujar beliau.

Masidi berkata, UiTM Cawangan Sabah banyak menganjurkan program yang melibatkan komuniti antaranya seperti Karnival STEM dan PETRONAS Be Digital Bootcamp serta telah menerima Geran UniMadani bernilai RM60,000 dan Geran Sejati Madani bernilai RM330,000 bagi menyahut aspirasi Perdana Menteri untuk membasmi kemiskinan.

“Justeru, kerajaan negeri Sabah sentiasa bersama UiTM dalam memperluas akses pendidikan tinggi terutamanya bagi anak – anak negeri Sabah serta membantu memperkasa jaringan strategik dengan alumni dan industri dalam memacu pembangunan negara dan kemakmuran global.

“Antara inisiatif bantuan pendidikan kerajaan negeri Sabah seperti bantuan tunai pendaftaran IPT secara one-of (BUDI), bantuan Ihsan Komputer 2.0 (BAIK) dan tajaan biasiswa merupakan inisiatif yang diteruskan dalam memperkasa bantuan kepada anak-anak Sabah yang melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi,” jelasnya.

Pada majlis itu juga, turut disaksikan pelancaran MySET (My Social Enterprise Town) Green Community Project, yang akan memberikan pendedahan keusahawanan dan impak besar kepada pelajar dan komuniti setempat.

“Program – program ini perlu diteruskan dengan lebih banyak kolaborasi antara UiTM, Industri, Komuniti dan Alumni serta kerajaan bagi memperkasakan kesejahteraan masyarakat,” kata Masidi.

Dalam pada itu, pelbagai aktiviti serta program di jalankan sepanjang sambutan Jubli Perak UiTM pada tahun ini.

Antaranya, Program Kayuhan Kapsul 25 Tahun Rentas Cawangan yang bermula dari Semenanjung Malaysia hingga ke Sarawak dan Sabah.

Turut hadir Rektor UiTM Cawangan Sabah, Profesor Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed.

RELATED ARTICLES
Utama

Bidang pendidikan, modal insan keutamaan kerajaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular