Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mengakui bimbang dengan keadaan anaknya di asrama, namun masih menaruh kepercayaan terhadap pentadbiran sekolah agama berkenaan.
Noraidah Lamat memberitahu Mahkamah Koroner bahawa keyakinan itu turut dipengaruhi pengalamannya sebagai bekas pelajar di sekolah yang sama.
“Saya risau dengan keadaan Zara. Tetapi dalam hati dan fikiran saya, saya masih percaya lagi kepada pentadbiran di sekolah agama. Kerana saya juga mantan murid di sekolah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam berhubung perkara yang bermain di fikirannya apabila Zara berkongsi pengalaman tidak menyenangkan ketika berada di asrama.
Noraidah turut menegaskan bahawa Zara tidak pernah memberitahunya mengenai hasrat untuk berpindah sekolah.
Ketika diminta mengulas keterangan seorang saksi lain bahawa Zara pernah menyatakan hasrat berpindah sekolah tetapi tidak dipersetujui ibunya, Noraidah sekali lagi menafikannya.
“Zara tidak pernah memberitahu saya bahawa Zara ingin berpindah sekolah,” katanya.
Sebaliknya, menurut Noraidah, Zara pernah memberitahunya bahawa dia mahu memegang jawatan di sekolah, khususnya sebagai pengawas badan dakwah dan rohani.
Katanya, Zara berminat dengan jawatan itu kerana murid yang memegang jawatan akan ditempatkan di bilik khas kerana Zara takut akan tinggal sebilik dengan murid-murid yang jahat.
Terdahulu, Noraidah memberitahu mahkamah bahawa Zara pernah mengadu mengenai ugutan daripada pelajar senior yang menggunakan istilah “touch-touch”.
Pada mulanya saya ingatkan touch-touch itu ialah sentuhan. Sentuhan yang tidak baik. Tetapi bila saya minta penjelasan, rupanya yang merujuk kepada tadi, tumbuk, pukul, tampar. Okay.
Menurutnya, beliau pada mulanya menyangka istilah itu merujuk kepada sentuhan tidak baik, namun Zara kemudian menjelaskan bahawa ia bermaksud tumbuk, tampar atau pukul.
“Apabila saya mendengar Zara mengadu, saya nampak Zara memang berada dalam ketakutan. Saya nasihatkan, ‘Ra, jangan berjalan sendirian. Berjalan dengan kawan Ra, pastikan kalau berjalan itu mereka tiada berdekatan dengan Zara’,” katanya
Noraidah berkata beliau juga cuba meyakinkan Zara bahawa pelajar senior terbabit tidak akan berani melakukan perkara sedemikian.
Bagaimanapun, Noraidah berkata, beliau berhasrat membawa perkara itu kepada warden dan seterusnya unit disiplin sekiranya ugutan berkenaan benar-benar dilaksanakan.
Noraidah turut mengesahkan bahawa Zara pernah memberitahunya mengenai ejekan daripada pelajar senior ketika beliau menghadiri aktiviti gotong-royong di sekolah pada Julai 2025.
Katanya, Zara menunjukkan pelajar senior yang didakwa mengejeknya ketika mereka berjalan di sekitar kawasan sekolah.
“Sambil berjalan, saya memegang tangan Zara supaya mereka tahu yang Zara ini ada emak dan mereka jangan maksud saya jangan buat sembarangan dengan Zara,” katanya.
Walaupun menceritakan perkara itu, Noraidah berkata, Zara kelihatan ceria dan seolah-olah bangga dengan kehadirannya pada program gotong-royong berkenaan.



