KOTA KINABALU: Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (USIA) diseru mempergiat usaha menarik penyertaan golongan muda dan beliawanis dalam Puteri USIA bagi memastikan kesinambungan kepimpinan serta kerelevanan organisasi itu pada masa hadapan.
Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad, berkata generasi pelapis perlu dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan, akhlak dan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan semasa.
Beliau berkata, Puteri USIA perlu diperkasa sebagai wadah melahirkan generasi wanita yang berilmu, berakhlak, berdaya saing serta mempunyai keupayaan dalam bidang kepimpinan dan teknologi.
“Giatkan usaha menarik penyertaan golongan muda dan beliawanis dalam Puteri USIA bagi memastikan kesinambungan kepimpinan serta kerelevanan organisasi pada masa hadapan.
“Kalau kita mahu USIA terus relevan 20 atau 30 tahun akan datang, hari ini kita mesti membina pelapisnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Amal Citra Madani Wanita USIA sempena ulang tahun ke-57 USIA di sini.
Menurut Sapawi, golongan wanita mempunyai kekuatan tersendiri kerana peranan mereka yang dekat dengan keluarga, masyarakat dan generasi muda, sekali gus berpotensi menjadi penggerak kepada pembangunan ummah.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru Wanita USIA supaya terus membantu kepimpinan organisasi memperkukuh gerakan di seluruh Sabah menerusi peluasan aktiviti dakwah, pendidikan dan khidmat masyarakat.
Majlis berkenaan dirasmikan isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin, yang juga penaung Badan Wanita USIA Negeri Sabah.
Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian anugerah kepada tiga Ketua Wanita USIA bahagian, selain peragaan busana Muslimah, persembahan hiburan serta penyampaian hadiah pakej umrah kepada pengunjung bertuah.
Turut hadir isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Juliah Salag, dan Ketua Wanita USIA, Datuk Siti Aminah Aching.



