HomeUtamaMedia main peranan perkasa promosi pelancongan Sabah – Jafry

Media main peranan perkasa promosi pelancongan Sabah – Jafry

Read Time:2 Minute, 17 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

SANDAKAN: Pengamal media dan industri kreatif perlu terus memainkan peranan dalam memperkasa promosi pelancongan Sabah menerusi penghasilan kandungan yang menarik, kreatif dan autentik bagi memperkenalkan keunikan destinasi negeri ini kepada dunia.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin, berkata media mempunyai pengaruh besar dalam membentuk persepsi masyarakat serta mempengaruhi keputusan seseorang untuk memilih destinasi pelancongan.

Beliau berkata, perkembangan era digital menjadikan kandungan media seperti artikel, fotografi dan video pendek sebagai medium penting untuk memperluas capaian promosi pelancongan kepada khalayak yang lebih besar.

Menurutnya, kandungan berkualiti bukan sahaja mampu menarik perhatian orang ramai, malah berupaya memperkenalkan keistimewaan sesuatu destinasi kepada ribuan, malah jutaan orang di seluruh dunia.

Pengamal media Sabah bergambar kenangan bersama kakitangan Tourism Malaysia Sabah

“Dalam era digital hari ini, peranan media amat penting dalam membentuk persepsi dan mempengaruhi keputusan seseorang untuk melancong.

“Sebuah artikel yang menarik, sekeping foto yang memukau atau video pendek yang kreatif mampu memperkenalkan sesuatu destinasi kepada ribuan, malah jutaan orang di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala sempena VM2026 Hunt & Explore Media Race 2026 di sini baru-baru ini.

Jafry berkata, penglibatan 10 pasukan media yang membabitkan 40 pengamal media dan pempengaruh dalam program berkenaan membuktikan kepentingan kerjasama antara sektor pelancongan dengan pengamal media bagi memperluas jangkauan promosi destinasi.

Katanya, pengalaman yang diperoleh peserta sepanjang berada di Sandakan diharap dapat diterjemahkan kepada kandungan kreatif yang mampu mengetengahkan keunikan daerah itu serta destinasi pelancongan Sabah secara lebih meluas.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media dan pempengaruh yang menyertai program berkenaan atas komitmen mereka dalam menyokong usaha promosi pelancongan.

Menurutnya, kerjasama berterusan antara semua pihak berkepentingan penting bagi memperkukuh industri pelancongan, selain memastikan keunikan destinasi tempatan terus mendapat perhatian pelancong.

Jafry berharap Sandakan terus menyerlah sebagai destinasi kebanggaan Sabah, manakala usaha promosi menerusi Visit Malaysia 2026–2027 dapat meningkatkan keterlihatan Malaysia dalam persada pelancongan antarabangsa.

Sementara itu, Jafry berkata penganjuran Hunt & Explore Media Race 2026 berpotensi untuk diperluas ke Sandakan dan Kinabatangan pada 2027 bagi mengetengahkan keunikan kedua-dua daerah berkenaan sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi dan hidupan liar.

Beliau berkata, cadangan itu dibincangkan bersama Tourism Malaysia bagi menganjurkan program berkenaan pada skala lebih besar tahun depan, selaras dengan usaha mempergiat promosi pelancongan Sabah menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

Menurutnya, Sandakan dan Kinabatangan mempunyai tarikan tersendiri yang mampu menggamit kehadiran pelancong, khususnya mereka yang berminat terhadap keindahan alam sekitar dan hidupan liar.

Katanya, Kinabatangan juga terkenal dalam kalangan pengunjung dari Eropah, sekali gus membuka peluang untuk memperluas promosi destinasi itu kepada pasaran antarabangsa.

Jafry berkata, kerjasama dengan Tourism Malaysia akan diteruskan bagi memastikan program berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih besar dan memberi pendedahan lebih meluas kepada keistimewaan destinasi pelancongan Sabah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

USIA perlu perkasa Puteri USIA tarik penyertaan golongan muda

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular