Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir berpendapat kes kematian anaknya menjadi tular dan mendapat perhatian orang ramai kerana beliau tidak menerima penjelasan sewajarnya mengenai kejadian itu.
Noraidah Lamat, 46, berkata demikian ketika menjawab soalan Koroner Amir Shah Amir Hassan yang meminta pandangannya, berdasarkan naluri keibuan, mengenai sebab kes berkenaan menjadi tular.
“Kerana kes ini tidak mendapat penjelasan yang apa yang patutnya dimaklumkan kepada saya,” katanya dalam prosiding inkues kematian Zara.
Terdahulu, koroner turut meminta Noraidah menyatakan pandangannya sebagai seorang ibu dan sahabat kepada Zara mengenai apa yang sebenarnya berlaku kepada anaknya pada malam 15 Julai 2025, walaupun beliau tidak berada di tempat kejadian.
“Saya masih lagi menunggu laporan rasmi daripada siasatan polis, Yang Arif,” jawabnya.
Dalam keterangannya, Noraidah turut memberitahu mahkamah bahawa ketika berada di hospital, beliau meminta bantuan pihak sekolah untuk mendapatkan buku catatan peribadi Zara.
Katanya, beliau berharap catatan itu dapat membantu memberikan gambaran mengenai apa yang sebenarnya berlaku kepada anaknya.
“Ketika saya berada di hadapan wad kecemasan, saya sebenarnya meletakkan kepercayaan kepada pihak sekolah untuk menyokong saya mencari dan menyiasat apa sebenarnya yang berlaku kepada Zara,” katanya.
Noraidah berkata beliau telah meminta bantuan Ustaz Azhari untuk mendapatkan buku catatan Zara yang biasanya disimpan di dalam almari anaknya.
“Zara ni dia suka juga menulis-nulis orang yang jahat sama dia dan orang yang baik pun dia suka menulis. Boleh kah ustaz ambilkan saya buku… buku tulisan Zara tu?” katanya.
Menurutnya, beliau turut menceritakan perkara itu kepada ustazah Siti dengan harapan pihak sekolah dapat membantunya mendapatkan maklumat mengenai kejadian tersebut.
Bagaimanapun, ketika ditanya koroner mengenai catatan berkenaan, Noraidah berkata beliau hanya menerima salinannya melalui peguam keluarga ketika menghadiri mesyuarat di pejabat peguam.
Beliau mengesahkan perkara itu berlaku selepas prosiding inkues bermula.
Noraidah turut memberitahu mahkamah bahawa beliau hanya mengetahui bagaimana catatan yang ditandakan sebagai Y1 hingga Y15 ditemukan di sekolah melalui penjelasan peguam keluarganya.
Katanya, pihak sekolah tidak pernah memaklumkan perkara itu kepadanya.



