HomeUtamaHari Malaysia pengiktirafan terhadap identiti, jati diri rakyat sebagai bangsa berbilang kaum

Hari Malaysia pengiktirafan terhadap identiti, jati diri rakyat sebagai bangsa berbilang kaum

Read Time:1 Minute, 53 Second

Oleh SABAH MEDIA TEAM

Kota Kinabalu : Sambutan Hari Malaysia yang bakal disambut Isnin ini bukan sekadar perayaan malah ia merupakan satu pengiktirafan terhadap identiti dan jati diri rakyat di negara ini sebagai bangsa yang berbilang kaum tetapi bersatu hati.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata, rakyat juga diseru untuk bersama-sama menghayati semangat Hari Malaysia dengan penuh keinsafan dan kebanggaan.

“Rakyat Malaysia khususnya di negeri ini diseru untuk sama-sama hadir memeriahkan sambutan ini yang akan diadakan di Padang Merdeka bermula seawal jam 7 malam Isnin ini.

“Kami mensasarkan kehadiran adalah melibatkan orang ramai, penjawat awam, belia, pelajar sekolah lebih daripada 30,000 pengunjung pada hari tersebut, yang akan turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan dan aktiviti menarik.

“Kami juga ingin memastikan bahawa setiap rakyat Malaysia, tidak kira latar belakang, dapat merasakan semangat kesatuan dan kebanggaan sebagai warga negara dalam sambutan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Hari Malaysia di sini hari ini.

Christina berkata, Sabah turut berbesar hati menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada tahun ini. 

Katanya, pelbagai pengisian program turut diadakan sepanjang sambutan bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan pengunjung.

” Antaranya ialah upacara pecah bendera Tuan Terutama oleh Pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia;  tarian sambut tamu “Heart of Sabah”; upacara menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2024 oleh Premier Sarawak, Ketua Menteri Sabah dan Perdana Menteri yang akan disaksikan oleh saya dan (YB) Fahmi Fadzil selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Hari Malaysia 2024.

“Selain itu, upacara memotong kek Hari Malaysia; acara konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan upacara serah Jalur Gemilang,”katanya.

Sementara itu, Christina berkata, persembahan ‘Rumah MADANI Jiwa Merdeka’ yang merupakan satu acara kemuncak sambutan pada tahun ini.

Katanya, persembahan ini akan menampilkan pelbagai aspek kejayaan Malaysia yang mencerminkan keteguhan perpaduan, dinamik kemajuan, dan transformasi negara. 

“Persembahan ini akan dipecahkan kepada lima segmen menarik, iaitu Segmen 1 – Negaraku: Segmen 2 – Perpaduan: Segmen 3 – Dinamik Kemajuan: Segmen 4 – Transformasi Negara dan Segmen 5 – Jiwa Merdeka.

“Selain itu beberapa persembahan kesenian lain turut diadakan termasuklah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Borneo Art, Satelit, Art UMS, SK Sembulan dan Ngalay. Tidak lupa artis tempatan Sabah yang terlibat seperti Elica Paujin, Nick Arddley, Den Bisa, Yico Wong, Dhania dan Rosario Bianis,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular