HomeIsu tempatanHati-hati dengan penjajahan minda pengaruh asing

Hati-hati dengan penjajahan minda pengaruh asing

Read Time:2 Minute, 21 Second

Kota Marudu : Generasi muda dinasihatkan agar lebih berhati-hati dengan penjajahan minda oleh pengaruh asing berikutan ledakan maklumat tanpa sempadan pada masa kini.

Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda berkata, penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat masa kini juga menyebabkan pengaruh luar sukar untuk disekat.

Beliau melahirkan kebimbangan jika pelbagai unsur negatif mempengaruhi minda rakyat khususnya dalam kalangan generasi muda sekali gus meruntuhkan jati diri dan membawa kerosakan akhlak dan sosial.

“Sebagai generasi muda, para pelajar perlu insaf bahawa dalam ledakan era globalisasi ini, mereka mesti mempunyai ketahanan mental bagi menghadapi cabaran yang membabitkan penjajahan minda oleh pengaruh asing.

“Semua pelajar perlu melengkapkan diri dengan semangat patriotisme yang tinggi agar menjadi lebih kompetitif dan dinamik,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena perasmian Program Bulan Kebangsaan Sekolah Kenangsaan Lampada Kota Marudu di Dewan Terbuka SK Lampada Kota Marudu di sini semalam.

Redonah berkata, sebagai pelajar mereka mesti bersikap lebih bijak dan matang dalam memilih apa yang baik dan yang buruk untuk diikuti dan dijadikan amalan dalam kehidupan.

“Jangan sesekali mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang negatif seperti bergaduh, mendengar hasutan kawan, mencuri, minum minuman keras, manjadi mat rempit, menceroboh asrama perempuan atau lelaki dan sebagainya.

“Semua itu menunjukkan akal fikiran kita telah dipengaruhi oleh anasir-anasir jahat. Sebaiknya kita bersatu antara satu sama lain jika ada kawan-kawan yang berniat seperti itu lebih baik kita nasihat-menasihati antara satu sama lain dan mengelakkan dari tindakan disiplin dari pihak sekolah,” katanya 

Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ini juga, beliau mengajak generasi muda agar memahami dan menghayati erti sebenar kemerdekaan kepada diri dan keluarga.

Katanya, melalui ilmu dan kefahaman yang jelas terhadap asal usul sesebuah negara, barulah rakyat khususnya generasi muda dapat mengerti kepentingan untuk menjaga keharmonian dan kedaulatan negara di samping mempertahankannya dengan apa cara sekalipun.

“Sebagai warganegara, kita seharusnya berasa bertuah menjadi sebahagian daripada rakyat negara yang berdaulat dan merdeka kerana kita dapat mengecapi kehidupan dalam suasana yang harmonis, aman serta sejahtera.

“Dengan nikmat kemerdekaan, rakyat di negara ini hidup lebih selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam menjalin hubungan sekali gus perpaduan kaum. Perpaduan adalah suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya,” katanya.

Redonah berkata, semangat cintakan negara tidak datang begitu sahaja tetapi perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara dalam diri semua agar kemerdekaan Malaysia dapat dipertahankan sampai bila-bila walaupun jasad, nyawa serta maruah menjadi taruhan.

Katanya, apabila kita mengibarkan Jalur Gemilang, secara tidak langsung dapat memupuk perpaduan dalam kalangan kita semua tanpa mengira latar belakang agama yang kita anuti, warna kulit yang menyalut tubuh badan kita, pangkat atau darjat.

“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kata-kata azimat tersebut sudah cukup menggambarkan betapa kita perlu bersatu hati. Sejarah telah membuktikan betapa keagungan sesuatu empayar itu bukan hanya terletak kepada kepimpinan yang bijak bestari semata-mata tetapi semangat jati diri dan permuafakatan rakyat,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Peniaga kecil, sederhana dipelawa sertai EKSES 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular