HomeUtamaLebih 50,000 pengunjung dijangka hadir meriahkan Tamu Besar Kota Belud

Lebih 50,000 pengunjung dijangka hadir meriahkan Tamu Besar Kota Belud

Read Time:1 Minute, 50 Second

Kota Kinabalu : Lebih 50,000 orang pengunjung dijangka hadir memeriahkan Tamu Besar Kota Belud akan berlangsung selama tiga hari bermula 25 Oktober depan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Diyanah Abdullah berkata, Tamu Besar itu akan menarik orang ramai dalam skala besar untuk hadir bagi sama-sama meraikan program berkenaan.

“Tamu Besar di Kota Belud ini akan diadakan selama tiga hari iaitu daripada 25 Oktober sehingga 27 Oktober depan. Kita menjangkakan lebih 50,000 orang pengunjung akan hadir sepanjang Tamu Besar dilaksanakan.

“Pelbagai aktiviti dan program telah disusun atur dengan sungguh menarik selain menonjolkan apa yang unik di Kota Belud. Kami amat bertuah Kerajaan Negeri melalui pejabat daerah Kota Belud dan seluruh warga Kota Belud akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan Malaysia (MOTAC).

“Ini adalah satu program besar untuk  menarik pelancong ke Kota Belud bagi sama-sama meraikan Tamu Besar pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.

Diyanah berkata, sebagai jawatankuasa induk pihaknya menjemput semua warga dari seluruh negeri Sabah dan Semananjung serta luar negara untuk datang bersama meraikan tamu besar pada kali ini.

“Tamu Besar pada kali ini adalah yang teristimewa dan ada kelainannya daripada tahun-tahun sebelum ini dan ia telah dimasukkan ke dalam Kalendar Pelancongan sebagai salah satu tarikan untuk pelancong datang ke Negeri Sabah khususnya di daerah Kota Belud.

“Banyak acara telahpun diatur termasuklah acara tradisi seperti lumba kerbau dan juga pertunjukan kuda berhias yang hanya ada di Kota Belud dan itulah salah satu keunikan daerah ini.

“Begitu juga dengan kraftangan yang berbeza dengan daerah lain, kita ada kita keunikan kita sendiri jadi saya menjemput semua untuk hadir untuk sama-sama dengan warga Kota Belud untuk melihat sendiri keunikan dan keindahan Kota Belud ini,” katanya.

Hadir sama, Pembantu Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan dan Pengerusi Sabah Softwood, Datuk Mohd Arsad Bistari yang juga ADUN Tempasuk.

Terdahulu Tun Juhar menerima kunjungan hormat dari rombongan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia yang diketuai oleh Timbalan Pengarahnya, Dr Vigneswari Subramaniam.

Kunjungan itu bertujuan untuk membincangkan program vaksinasi HPV dan saringan kanser di Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Dr Maria dilantik Pengarah JKNS baharu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular